Seorang calon memeriksa angka giliran sebelum memasuki dewan pada hari pertama peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Puchong Jaya, Selangor. foto IQBAL BASRI, 06 NOVEMBER 2017 - foto hiasan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Dokumen palsu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dapat diperoleh dengan RM500 melalui aplikasi WhatsApp.

Yang dijanjikan bagaimanapun bukan hanya sekeping sijil tiruan, tetapi maklumat dalam pangkalan data Kementerian Pendidikan juga akan diubah oleh “orang dalaman” .

Oriental Daily melaporkan, urusan jual beli sijil tiruan itu dilakukan terutamanya untuk membantu pelajar yang gagal mendapat sijil kerana kecundang dalam peperiksaan mata pelajaran Sejarah dan Bahasa Melayu.

Selain itu, sijil yang mencatatkan keputusan lebih baik juga memudahkan pelajar mendapatkan pekerjaan atau mencapai kelayakan untuk melanjutkan pelajaran.

Wartawan yang menyamar sebagai pembeli mendapati pembekal sijil tiruan berurusan secara berhati-hati bagi mengelakkan kegiatan haramnya dibongkar.

Pembekal itu umpamanya tidak akan mengeluarkan sijil dengan keputusan cemerlang, tetapi sekadar menaruh keputusan “cukup syarat” untuk membolehkan pelajar memohon masuk ke institusi pengajian tinggi.

Ditanya sama ada maklumat sijil tiruan akan bercanggah dengan pangkalan data Kementerian Pendidikan, pembekal itu memberi jaminan bahawa keadaan itu tidak akan berlaku.

Jelasnya, orang dalaman Kementerian Pendidikan akan melakukan penyelarasan keputusan yakni mengubah keputusan SPM dalam pangkalan data.

“Kami sudah mengendalikan banyak kes dan kami memberi jaminan bahawa sijil yang dikeluarkan boleh diguna untuk memohon tempat di kolej atau memohon kerja.

“Data dalam Kementerian Pendidikan juga adalah sama dengan sijil (tiruan) yang dikeluarkan,” katanya.

Untuk mendapat sijil tiruan, pembeli hanya perlu menyediakan nama pelajar dan sekolah atau menghantar terus gambar keputusan SPM dan STPM kepada pembekal melalui WhatsApp.

Ditanya sama ada boleh mengeluarkan sijil dengan keputusan cemerlang, pembekal yang dihubungi wartawan mengakui keadaan itu sukar dilakukan.

“Kami mungkin boleh menyediakan satu gred A dan subjek yang lain hanya boleh diubah kepada gred lulus,” katanya.

Dalam perkembangan mengenai sijil palsu yang berleluasa, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching telah mencadangkan supaya diploma dan ijazah yang dikeluarkan institusi pengajian tinggi disertakan dengan cip bagi memastikan ketulenan.

“Yang paling mencabar kami pada masa ini ialah sijil palsu dari luar negara kerana pihak berkuasa Malaysia tidak boleh mengambil tindakan terhadap entiti asing yang menjual sijil tiruan,” katanya. – MalaysiaGazette