Seorang pengetua sebuah pusat tahfiz di Kepong, ditahan polis kerana dipercayai meliwat sembilan pelajar pusat tahfiz berkenaan.
Tindakan menutup pusat tahfiz disebabkan kesalahan pengetuanya juga boleh diumpamakan seperti 'marahkan seekor nyamuk, habis kelambu dibakar'. - foto hiasan

KUALA TERENGGANU – Tindakan menutup pusat tahfiz hanya disebabkan kesalahan individu adalah tindakan zalim kerana hukuman sepatutnya dikenakan kepada pesalah sahaja.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Terengganu, Satiful Bahri Mamat berkata tindakan menutup pusat tahfiz disebabkan kesalahan pengetuanya juga boleh diumpamakan seperti ‘marahkan seekor nyamuk, habis kelambu dibakar’.

“Kenapa sebab ada kes gangguan seksual di pusat tahfiz, kerajaan nak arah pusat tahfiz ditutup?…kalau macam tu, jika berlaku kes liwat di balai polis, takkan nak tutup balai polis?.

“Ini contoh Islamphobia, baru-baru ni ramai yang mati sebab minum arak, sepatutnya tutuplah kilang arak, tapi kenapa tak ada pula yang berbunyi mengenai isu tersebut,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan Exco di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof yang menegaskan kerajaan tidak akan teragak-agak menutup pusat tahfiz yang pengetua atau pemiliknya terbabit kes gangguan seksual.

Ia susulan kes seorang pemilik pusat tahfiz di Kepong, Kuala Lumpur, yang ditahan polis selepas disyaki meliwat dan melakukan gangguan seksual terhadap sembilan penuntut berusia belasan tahun sejak beberapa bulan lalu.

Suspek berusia 30-an sudah sudah didakwa dengan 11 pertuduhan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 di Mahkamah Sesyen, Putrajaya, pada Rabu minggu lalu.

Mengulas lanjut, Satiful Bahri berkata kerajaan Terengganu akan terus memperkasakan institusi swasta seperti maahad tahfiz, pondok dan madrasah bahkan berterima kasih kepada mereka yang telah banyak berkorban dalam membangunkan institusi tersebut.

— BERNAMA

Tinggalkan Jawapan