PNB
Pengerusi Pemodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Dr. Zeti Aziz sambil diiringi Presiden dan Ketua Eksekutif Pemodalan Nasional Berhad (PNB), Datuk Abdul Rahman Ahmad (kanan) mengumumkan agihan pendapatan ASM3. foto AFFAN FAUZI, 27 SEPTEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Permodalan Nasional Bhd. (PNB) mengumumkan agihan pendapatan bagi Amanah Saham 1Malaysia sebanyak 6 sen seunit yang melibatkan pembayaran keseluruhan sebanyak RM755 juta.

Menurut Pengerusi PNB, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, lebih 440,000 pemilik akaun yang memegang 12.7 bilion unit dana amanah tersebut bakal menerima pembayaran agihan pendapatan masing-masing pada 1 Oktober ini melalui pelaburan semula secara automatik dan dikreditkan ke akaun pemegang unit.

Bermula 15 Oktober ini, Amanah Saham 1Malaysia bakal dikenali sebagai Amanah Saham Malaysia 3 (ASM3).

Selain itu, Amanah Saham Bumiputera 3 Didik turut ditukar nama kepada ASB 3 Didik dan Amanah Saham Wawasan 2020 kepada Amanah Saham 2 Wawasan.

“Kami mempunyai terlalu banyak dana amanah yang memiliki ciri-ciri serupa dan ada di antaranya mempunyai nama yang tidak lagi relevan jadi penukaran nama tersebut bakal memberi gambaran yang lebih jelas mengenai ciri-ciri dana berkenaan.

“Selain itu, dana amanah khusus untuk bumiputera akan diletakkan di bawah satu kategori iaitu Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang melibatkan dana amanah ASB, ASB2 dan ASB 3 Didik manakala dana amanah untuk keseluruhan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum akan diletakkan di bawah jenama Amanah Saham Malaysia (ASM).

“Ini melibatkan ASM, Amanah Saham Wawasan 2020 dan Amanah Saham 1Malaysia,” katanya semasa berucap di Majlis Pelancaran Dana Amanah Baharu PNB di sini hari ini. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan