Calon PAS, Mohd Nazari Mokhtar (kanan) bercakap dengan ibalu Allahyarham Adnan Othman, Nor Shahmiza Salleh (kiri) bersama anaknya, Alia Maisara Adnan di Taman Jaya Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 04 OKTOBER 2018

PORT DICKSON – Calon Pas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar menjadi individu ketiga menziarahi keluarga salah seorang anggota bomba yang maut dalam dalam operasi mencari dan menyelamat di lombong di Puchong, Selangor, semalam.

Mohd Nazari yang memakai kemeja putih hijau dilihat bersama-sama ahli keluarga allahyarham Adnan Othman yang meninggal dunia akibat lemas semalam.

Beliau dilihat berbual dengan ahli keluarga mangsa dan membacakan surah Yassin buat Allahyarham Adnan.

Turut kelihatan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.

Fahmi ketika ditemui media berkata, calon PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membuat lawatan peribadi keatas keluarga mangsa di sesi malam.

“Anwar sampai dalam takziah dan akan ziarah secara peribadi selepas ini kerana beliau ingin menyampaikan penghormatan secara peribadi kepada keluarga Allahyarham.

“Saya nasihatkan netizen agar tidak menularkan video saat-saat terakhir enam wira negara yang kecundang ini. Berikan sedikit ruang untuk keluarga yang masih bersedih,” katanya kepada media di perkarangan Masjid Qariah Lukut Mukim Port Dickson.

Terdahulu dua calon bebas di PRK Port Dickson iaitu Tan Sri Isa Samad dan Mohd Saiful Bukhari Azlan menziarahi keluarga Adnan.

Mereka yang hadir serentak di Taman Wawasan Jaya, tidak jauh dari lokasi kematian, kira-kira jam 10 pagi bertemu ahli keluarga mangsa. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan