Anggota Bomba dan Penyelamat mengambil langkah berjaga-jaga.
Anggota Bomba dan Penyelamat mengambil langkah berjaga-jaga.

KUALA LUMPUR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja lelaki yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam lombong di Taman Putra Perdana, Puchong diteruskan hari ini.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Zon 5, Izman Adnan berkata, operasi mengesan Mohd Ilham Fahmi Mohd Azam, 17, diteruskan pukul 8 pagi ini dengan melakukan pencarian di kawasan tebing sepanjang 40 meter di lombong berkenaan.

“Bomba mendapati arus dalam lombong masih deras pagi ini dan pasukan penyelam akan membuat penilaian dahulu sebelum membuat operasi.

“Difahamkan pasukan penyelam dari Polis Marin akan melakukan SAR dan bagi pihak bomba kami belum dapat pastikan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari mana akan datang,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Ditanya sama ada teknik menyelam secara berkumpulan akan digunakan hari ini, beliau berkata, pihaknya tidak dapat memastikan teknik yang akan digunakan.

“Ia bergantung kepada keadaan cuaca serta arus di dalam lombong ini,” katanya.

Tinjauan Bernama mendapati operasi SAR masih diteruskan anggota Bomba meskipun terkejut dengan tragedi enam anggota PPDA maut ketika menjalankan operasi mencari remaja lelaki di Taman Putra Perdana, Puchong pada 9.15 malam Rabu.

Cuaca di kawasan kejadian setakat ini cerah dan anggota keluarga mangsa kelihatan berkumpul untuk mengikuti perkembangan operasi SAR.

Bagaimanapun, pihak media tidak dibenarkan memasuki kawasan di sekitar lombong terbabit. – MalaysiaGazette