Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengibarkan bendera sebagai gimik perasmian sambil diiringi isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali (empat kanan) dan Menteri Belia Dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman (dua kiri) pada Majlis Perasmian Hari Sukan Negara 2018 di Dataran Keris KL Sports City Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 13 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Pemain-pemain bola sepak negara dinasihati agar tidak sesekali terlibat dengan rasuah untuk mengkhianati pasukan sendiri.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, mereka perlu melindungi dan memastikan pasukan yang disertai menang tanpa ada yang bertindak menjaringkan gol di pintu sendiri.

“Kita pernah menang dalam Piala Merdeka.

“Pasukan Jepun dan Korea dulu bermain bola dengan berkaki ayam, sedangkan kita berkasut tetapi mereka kini lebih hebat dan profesional,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Sambutan Hari Sukan Negara peringkat kebangsaan di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata, sikap mengkhianati pasukan hanya akan memperlihatkan kepada pihak luar tentang kelemahan diri kita sendiri.

MGF13102018_MAJLIS PERASMIAN HARI SUKAN NEGARA15
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sempat melambaikan tangan kepada peserta-peserta berbasikal sambil diiringi isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad ALi dan Menteri Belia Dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman pada Majlis Perasmian Hari Sukan Negara 2018 di Dataran Keris KL Sports City Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 13 OKTOBER 2018

Dalam pada itu Dr Mahathir berkata, sukan telah menjadi satu acara atau amalan yang penting untuk kesihatan yang perlu dilakukan setiap hari.

Katanya, penjagaan kesihatan perlu dititikberatkan oleh setiap individu pada setiap masa.

“Pada masa ini, kita tidak melakukan pekerjaan berat. Kita duduk di pejabat berhawa dingin selama berjam-jam, kita tidak menggunakan otot kita.

Apabila kita tidak menggunakan sesuatu, badan kita lemah,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan