Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun (tiga kiri) bersama pegawai SPR melihat peti undi pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Sekolah Kebangsaan Port Dickson, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 13 OKTOBER 2018.

PORT DICKSON – Peratusan keluar undi 9 peratus yang direkodkan sehingga 9 pagi tadi adalah satu kedudukan rendah untuk Pilihan Raya Kecil (PRK).

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, ia merupakan satu indikasi atau perkembangan tidak sihat.

“Kadar 9 peratus keluar undi setakat 9 pagi tadi rendah dalam PRK.

“Saya meminta pengundi supaya keluar beramai-ramai mengundi, cuaca pun mendung dan mungkin hujan sebelah tengah hari,

“Sata harap pengundi dapat merancang masa dan melaksanakan tanggungjawab demokrasi hari ini,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau terdahulu bersama Setiausaha SPR, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar melawat Pusat Daerah Mengundi di Sekolah Kebangsaan Port Dickson yang menyaksikan seramai 4,664 pengundi dengan 10 saluran mengundi dibuka bermula 8 pagi ini.

PRK Port Dickson hari ini membabitkan sejumlah 68, 317 orang pengundi, tidak 169 undi pos yang dikeluarkan sebelum ini.

Manakala seramai 6,690 anggota tentera dan pasangan mereka serta 578 anggota polis terlibat undi awal pada 9 Oktober lalu.

PRK kali ini diadakan selepas penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdulla mengosongkan kerusi itu pada 12 September lalu sebagai memberi laluan kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding kerusi Parlimen itu.

Danyal menang dengan majoriti lebih 17,000 undi menewaskan dua saingannya Pas dan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 9 Mei lalu. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan