Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette

KUALA LUMPUR – Mahkamah Rayuan akan mendengar permohonan yang difailkan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad pada 29 Julai ini.

Rayuan tersebut membabitkan tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta yang dikaitkan dengan pelaburan Felcra Bhd. 

Timbalan pendaftar Mahkamah Rayuan, Muhammad Noor Firdaus Rosli menetapkan tarikh itu ketika pengurusan kes hari ini.

Pada 7 September lepas, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Bung Moktar dan Zizie Izette untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri pada 2 September tahun lalu.

Bung Moktar dan Zizie Izette merayu terhadap keputusan Azhar pada 9 Disember tahun lalu yang menolak permohonan pasangan itu untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri atas tiga pertuduhan rasuah.

Pada 2 September 2022, Rozina memerintahkan pasangan itu membela diri atas tiga pertuduhan rasuah selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Beliau juga didakwa menerima suapan wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

Zizie Izette pula berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast