Nazri Aziz
Nazri Aziz

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Nazri Aziz menyifatkan kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah kehendak Tuhan dan tiada kuasa dapat menghalang beliau menjadi perdana menteri.

Bercakap kepada portal berita FMT, bekas menteri pelancongan itu berkata, pelbagai tindakan telah dilakukan terhadap Anwar termasuk dipenjara dan didakwa, tetapi tiada siapa boleh mencabar kehendak Tuhan.

“Ini kehendak Tuhan untuk beliau memimpin negara,” kata Nazri ketika diminta mengulas kemenangan Anwar dalam Pilihan Raya Kecil (PKR) Port Dickson semalam dengan perolehan majoriti lebih besar berbanding penyandang kerusi itu sebelum ini iaitu Datuk Danyal Balagopal Abdullah pada pilihan raya umum ke-14 lalu.

Katanya, Malaysia amat memerlukan beliau sekarang.

Nazri berkata, hanya Anwar boleh “mengembalikan negara ke landasan betul” dan ada banyak kebencian serta ketidakyakinan di kalangan rakyat sejak pilihan raya umum 9 Mei lalu yang memberi kemenangan kepada Pakatan Harapan (PH).

Beliau turut memuji Anwar “tidak berdendam” kerana memaafkan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Anwar dipecat daripada Kabinet oleh Dr Mahathir yang merupakan perdana menteri pada 1998, sebelum didakwa dengan pertuduhan meliwat dan penyalahgunaan kuasa.

Nazri yang menyokong Anwar secara terbuka sebelum kempen Port Dickson bermula berkata, beliau bersyukur UMNO tidak menyertai PRK kali ini.

Tetapi, pemimpin UMNO yang lantang itu enggan memberitahu sama ada partinya akan bekerjasama dengan Anwar.

“Beliau tidak pernah meninggalkan UMNO, beliau dipecat. Saya sentiasa menyokong beliau, cuma saya memilih tidak meninggalkan UMNO,” katanya. – MalaysiaGazette

 

Tinggalkan Jawapan