Menteri Kewangan, Yb Lim Guan Eng bercakap pada sidang media mengenai hutang RM1 Trillion di Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 31 MEI 2018
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Hasil negara dianggar berkurangan sebanyak RM21 bilion bagi tahun ini selepas anggaran kutipan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) untuk tempoh September sehingga Disember 2018 hanya sebanyak RM4 bilion.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kehilangan hasil cukai berasaskan kepenggunaan bersih adalah berjumlah RM17 bilion bagi tahun 2018.

Bagaimanapun, pengurangan kutipan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tersebut akan diimbangi tambahan hasil berkaitan petroleum yang dijangka berjumlah RM5.4 bilion.

Ini berikutan peningkatan harga minyak mentah Brent purata kepada AS$70 setong berbanding andaian AS$52 setong yang diguna pakai dalam Bajet 2018.

Selain itu, tambahan dividen yang dianggar sebanyak RM5 bilion daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuk Petronas dan Khazanah Nasional Berhad.

Guan Eng berkata, tambahan dividen ini adalah one-off selaras dengan peningkatan harga minyak mentah dunia pada tahun 2018 berbanding andaian yang digunakan dalam Bajet 2018.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) yang bertanya berapakah jumlah pengurangan hasil pendapatan kerajaan apabila GST dihapuskan dan apakah
strategi Kerajaan untuk menampung semula kekurangan hasil pendapatan tersebut.

Meskipun harga minyak mentah dunia berada di sekitar AS$70 setong, peratusan hasil berkaitan petroleum kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hanyalah di sekitar 3.3 peratus berbanding 9.2 peratus pada tahun 2009, yang mana pada tahun tersebut harga minyak mentah dunia adalah pada paras AS$62 setong.

Ini menunjukkan kerajaan telah mengurangkan kebergantungan kepada hasil berkaitan petroleum.

Di samping itu, antara langkah-langkah lain bagi meningkatkan hasil Kerajaan Persekutuan adalah menerusi aktiviti audit dan siasatan yang berterusan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri dan
Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi meningkatkan pematuhan cukai dan mengurangkan jurang cukai.

Tambahnya, kerajaan juga akan meneroka sumber hasil baharu terutama daripada aktiviti transaksi atas taliandan menyemak semula insentif cukai bagi memastikan impak yangminima kepada pengurangan hasil namun menjana aktiviti ekonomi.

Kerajaan telah melaksanakan langkah rasionalisasi perbelanjaan dengan menyusun semula keutamaan perbelanjaan serta mengkaji, menangguh dan merunding semula projek-projek berkos tinggi.

Selain itu, kerajaan turut merasionalisasikan fungsi jabatan, program dan projek bagi mengelakkan pertindihan serta meningkatkan tadbir urus perolehan supaya lebih cekap dan telus.

“Langkah ini dijangka memberi penjimatan keseluruhan perbelanjaan sebanyak RM10 bilion.

“Namun begitu, kerajaan tetap komited terhadap manifesto Pakatan Harapan yang mana antara terasnya adalah untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.,” katanya sambil menambah harga petrol RON95 telah distabilkan pada RM2.20 seliter dandiesel pada RM2.18 seliter.

Ujar beliau, langkah ini akan memberi penjimatan kepada rakyat Malaysia dalam bentuk subsidi sebanyak RM3 bilion sehingga Disember tahun ini.

Bantuan istimewa juga telah diberikan kepada setiap penjawat awam gred 41 dan ke bawah serta pesara jawatan awam yang melibatkan perbelanjaan sebanyak kira-kira RM700 juta. – MalaysiaGazette