Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Datuk Seri Shahidan Kassim

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim mendakwa Pakatan Harapan (PH) tidak mungkin memenangi PRU-14 lalu tanpa penglibatan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ujarnya, sekiranya Mahathir tidak mengetuai PH, maka Barisan Nasional (BN) masih lagi berkuasa sehingga kini.

“PH kena ingat bahawa mereka menang kerana aura Tun Mahathir. Kalau beliau tidak ada, PH tidak boleh kalahkan BN sebab kami kuat.

“PH juga kena ingat tanpa kekuatan PKR akan menyebabkan PH menang tanpa PKR, PH tidak boleh menang,” katanya dalam perbahasan usul Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah tentang dasar baharu kerajaan PH di Parlimen hari ini.

Gabungan PH yang dianggotai PKR, DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Amanah Negara (Amanah) mendapat mandat rakyat apabila berjaya membentuk kerajaan pada 9 Mei lalu.

Kerajaan PH kini diketuai Mahathir selaku Perdana Menteri, dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku Timbalan Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau berkata, gabungan antara Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu segera direalisasikan bagi memastikan tidak berlaku lagi permusuhan antara kedua-dua mereka.

“Boleh satukan (Ahli Parlimen) Langkawi dengan Port Dickson. Jangan ketepikan dia, kalau dia tidak ada PH tidak boleh menang. Nanti berlaku pergaduhan yang hebat,” katanya lagi.

Hari ini, Anwar mengangkat sumpah tepat jam 10 pagi di hadapan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof selepas memenangi Pilihan Raya Kecil Port Dickson pada Sabtu lalu. -MalaysiaGazette