Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kekukuhan ekonomi negara bersandarkan kepada lapan faktor iaitu pertumbuhan yang mantap dan stabil.

KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia dijangka berkembang perlahan pada kadar 4.7 peratus pada 2018 berbanding 5.9 peratus tahun lepas.

Pakar Ekonomi Allianz Group, Michael Heise berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia diunjur menurun kepada 4.6 peratus pada 2019 didorong oleh perkembangan global yang mencabar di samping usaha-usaha kerajaan mengawal perbelanjaan negara.

Walaupun pertumbuhan menurun, angka-angka tersebut masih kukuh dari segi perbandingan, kata Heise.

“Kita dapat lihat ekonomi Malaysia berkembang perlahan tahun ini tetapi ianya masih kukuh jika dibandingkan dengan persekitaran yang mencabar ketika ini,” katanya dalam satu taklimat media di sini hari ini.

Tambah Heise, peningkatan amalan protectionism perdagangan secara global, kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan dan pertambahan hutang swasta bukan sahaja memberi cabaran kepada Malaysia malah masalah yang sama turut dihadapi oleh negara-negara serantau.

Dalam pada itu, Heise berkata, Allianz menjangkakan Bank Negara Malaysia akan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 3.25 peratus sehingga hujung tahun ini sebelum menaikkannya sebanyak 25 mata peratusan tahun depan. – MalaysiaGazette

 

Tinggalkan Jawapan