SEREMBAN – Anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan berada di kesemua lokasi pengundian pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri yang dijadualkan berlangsung Sabtu ini, bagi mencegah amalan politik wang.

Pengerusi PKR negeri Aminuddin Harun berkata, pihaknya difahamkan penguatkuasa agensi tersebut akan membuat pemantauan di kesemua lapan lokasi pusat pemilihan.

“Kalau perlu, kita akan jemput SPRM untuk membuat pemantauan walaupun sebenarnya kita tahu mereka akan sentiasa memantau jika ada proses pemilihan atau pengundian di seluruh negara ini juga termasuklah dengan Negeri Sembilan.

“Kita harap semua pihak dalam parti pertahankan prinsip reformasi yang diperjuangkan sejak awal penubuhan PKR hampir 20 tahun lalu ini termasuklah menolak politik wang,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli yang mendakwa politik wang telah berlaku secara berleluasa di enam negeri yang telah mengadakan pemilihan sebelum ini.-BERNAMA

Tinggalkan Jawapan