Wan Azizah
Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bercakap ketika sesi sidang media sambil diiringi Menteri Besar Johor, Osman Sapian (kiri) ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 16 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr. Wan Azizah berkata mekanisme untuk mengatasi perbezaan antara pendapatan isi rumah hanya boleh dijawab Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, hanya Guan Eng yang mempunyai langkah mengatasi jurang antara golongan kaya dan miskin di negara ini.

“Kita hendak melakukan pengagihan kekayaan itu sebagai satu perkara asas kepada kerajaan PH. Apabila ada pihak yang mendapat pendapatan lebih manakala ada yang mendapat kurang, ini tidak baik dan tidak stabil untuk negara.

“Kena tanya Menteri Kewanganlah,” katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen, hari ini.

Wan Azizah mengulas mengenai Laporan Keadaan Isi Rumah 2018 yang menunjukkan perbezaan yang semakin melebar antara golongan kaya dan miskin di negara ini.

Semalam, laporan bertajuk ‘Realiti Berbeza’ yang disediakan oleh Institut Penyelidikan Khazanah menonjolkan perbezaan antara pendapatan isi rumah dari segi lokasi geografi, perbelanjaan dan ketidaksamaan.

Berdasarkan agihan pendapatan isi rumah pada 2016, isi rumah M40 ditakrifkan sebagai golongan yang berpendapatan antara RM4,360 dan RM9,619.

Laporan itu dilancarkan oleh Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd., Datuk Shahril Ridza Ridzuan. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan