Baru Bian
Menteri Kerja Raya, Baru Bian hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 18 OKTOBER 2018.

KUALA LUMPUR – Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata satu kajian berhubung cadangan pembinaan semula Jambatan Bengkok hasil cetusan idea Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad masih dalam kajian.

Menurutnya, buat masa ini, kerajaan tidak boleh memberikan kata putus samada untuk diluluskan atau tidak.

“Saya fikir setiap projek kita mesti buat kajian kebolehlaksanaan dan kemudian kita akan meneruskan daripada kajian itu.

“Sekarang saya fikir kerajaan cuma tunggu untuk memutuskan dan disyorkan,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.

Sebelum ini, Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian mendedahkan kerajaan bercadang untuk meneruskan semula projek pembinaan jambatan bengkok.

Sehari selepas itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali berkata, pembinaan jambatan tersebut tidak tidak sesuai kepada kerajaan berdasarkan keadaan ekonomi semasa.

“Saya pasti Kerajaan Negeri (Johor) akan mengusulkannya ke Kerajaan Persekutuan dan setelah kami terima cadangan itu, kementerian akan meneliti perkara ini dan melihat sama ada kita mempunyai kapasiti untuk meneruskan projek ini.

“Atau kita boleh pertimbang untuk melaksanakannya apabila keadaan (ekonomi) kembali pulih,” kata Azmin.

Jambatan bengkok atau Jambatan Indah adalah projek jambatan sepanjang 1.4 kilometer bagi menggantikan Tambak Johor sepanjang 1.06 kilometer yang digunakan sejak 1923.

Idea pembinaan jambatan bengkok tercetus kerana Singapura tidak mahu mengubah Tambak Johor yang menjadi struktur penghubung di sempadan negaranya.

Seni bina jambatan bengkok itu lebih tinggi bagi membolehkan kapal kecil melepasi Selat Johor namun Singapura enggan berkompromi dengan konsep itu.

Projek itu dibatalkan tahun 2006 pada era Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan