Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad meluangkan masa melawat ruang pameran selepas merasmikan Persidangan Pengurusan Sisa Pepejal Antarabangsa (ISWA) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 22 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Kadar kitar semula dalam negara pada tahun 2020 dijangka mencecah 30 peratus.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, peratusan itu adalah peningkatan sebanyak empat peratus berbanding kadar semasa iaitu 26 peratus.

Menurut beliau, Malaysia masih memerlukan tahap kesedaran yang tinggi tentang amalan kitar semula sampah pepejal.

“Buat masa ini kadar kitar semula kita adalah 26 peratus berbanding dengan Singapura dan Hong Kong yang mencapai lebih 70 peratus.

“Jadi kita perlu banyak lagi usaha untuk tangani dan beri kesedaran tentang isu serius ini. Ini bukan masalah yang boleh diselesaikan oleh kerajaan sahaja mungkin kerajaan boleh buat, anjurkan kempen tapi ia terletak kepada masyarakat untuk menangani isu kitar semula ini,” katanya.

Terdahulu Raja Kamarul merasmikan Kongres Persatuan Sisa Pepejal Antarabangsa 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) selama tiga hari bermula hari ini.

Pada tahun ini, Malaysia merupakan tuan rumah kepada kongres yang dihadiri lebih kurang 1,500 wakil ISWA daripada pelbagai negara.

Jelas beliau, buat masa ini kerajaan menumpukan usaha sepenuhnya untuk terus memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan amalan kitar semula dan cara-cara melakukannya berbanding penguatkuasaan undang-undang menerusi penalti.

Tambahnya, masyarakat hari ini masih tidak mematuhi mengikuti kategori kotak sampah untuk dikitar semula.

“Kita tidak meletakkan produk (sampah mengikut kategori) di tempat yang betul. Saya rasa kita boleh melaksanakan penguatkuasaan undang-undang tapi pelaksanaannya kena dibuat.

“Buat masa ini tumpukan kepada kesedaran terlebih dahulu, apa juga pelaksanaan perlu berperingkat. Jika perkara ini tidak berjaya (kesedaran), mungkin kita perlu laksanakan penalti,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Raja Kamarul memaklumkan sebanyak RM1.5 bilion diperuntukkan kepada tujuh negeri yang sebelum ini menandatangani Perjanjian Konsesi Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam.

Negeri-negeri itu termasuk Kuala Lumpur, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Kedah.- MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan