Dua dari tiga blok Highland Tower yang ditinggalkan selepas sebuah Blok 1 tumbang dalam tragedi yang berlaku pada tahun 1993.

KUALA LUMPUR – Buat masa ini sebarang pembangunan semula di kawasan Highland Towers perlu dielakkan kerana kedudukan tanahnya tidak stabil.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, kawasan itu mempunyai sejarah yang terbukti kedudukan struktur tanahnya yang bahaya.

MGF22102018_ISWA World Congress_08
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad bercakap kepada media selepas merasmikan Persidangan Pengurusan Sisa Pepejal Antarabangsa (ISWA) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 22 OKTOBER 2018

Sehingga kini belum ada maklumat terkini tentang tahap keselamatan di kawasan Highland Tower, justeru, beliau menyifatkan tidak wajar mengambil risiko untuk membangunkan semula tanah itu.

“Kita tidak mahu ambil risiko buat masa ini, selain tidak ada keperluan untuk membuat apa-apa pembinaan di situ sebab ada bukti ketidakstabilan (sebelum ini).

“Pada masa ini tidak ada pembinaan di kawasan itu sebab kawasan berkenaan adalah sensitif . Mungkin ada beberapa faktor lain menyebabkan ia bahaya, contohnya aliran air.

” Perkara-perkara seperti itu (yang perlu diambil kira). Disebabkan kawasan ini sensitif maka ia (pembangunan) perlu dielakkan kecuali wujud keperluan,” katanya di sini.

Tambah beliau, jika kawasan itu mahu dijadikan taman, boleh hanya sekadar simbolik sahaja bagi menyedarkan orang ramai bahawa satu tragedi pernahh berlaku di situ.

Meskipun begitu, sebarang pembangunan kena sangat berhati-hati kerana tidak mahu mengambil risiko.

Raja Kamarul Bahrin berkata, Lembah Kelang masih mempunyai banyak kawasan lain untuk dibangunkan sebagai taman rekreasi.

Menurutnya, Jawatankuasa Pembangunan Semula Highland Towers masih belum selesai mengkaji struktur tanah kawasan itu namun membangunkannya masih dalam perancangan kerajaan kerana wujud pemaju yang berminat.

Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin memberitahu, kawasan Highland Towers akan dijadikan taman rekreasi dalam masa terdekat, sekali gus akan mengubah wajah kawasan tragedi hitam satu daripada tiga blok kondominium itu runtuh yang meragut 48 nyawa pada 11 Disember 1993.

Zuraida berharap akan dapat membangunkan semula kawasan Highland Tower yang telah terbengkalai hampir 25 tahun untuk dijadikan taman rekrerasi. -MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan