KUALA LUMPUR – Rekod tanpa kalah Malaysia dalam kejohanan Trofi Juara-Juara Asia 2018 lebur selepas kalah 0-1 kepada Pakistan dalam perlawanan akhir pusingan awal mereka di Kompleks Sukan Sultan Qaboos di Muscat, Oman pada Khamis (Jumaat di Malaysia).

Keputusan itu bagaimanapun tidak menjejaskan peluang Malaysia yang sudahpun layak ke separuh akhir apabila menduduki tempat ketiga di belakang Pakistan dan India, selepas mencatatkan tiga kemenangan, satu seri dan satu kalah dalam perlawanan pusingan awal.

Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi dalam perlawanan separuh akhir Sabtu ini.

Dalam perlawanan itu, peluang terbaik Malaysia datang pada minit kesembilan tetapi pukulan Muhammad Marhan Abdul Jalil terkena badan penjaga gawang Pakistan, Imran Butt dan keputusan seri tanpa jaringan kekal sehingga tamat babak pertama.

Sebaik sahaja babak kedua bermula, kedua-dua pasukan meningkatkan tempo masing-masing untuk mencari peluang dengan Pakistan berjaya mendahului pada minit ke-54 menerusi Muhammad Irfan Jr yang menyempurnakan hantaran daripada Ajaz Ahmad dan mata itu kekal sehingga wisel penamat.

Ketua jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan, Roelant Oltmans kecewa dengan keputusan itu namun yakin anak didiknya akan berupa bangkit dan menang apabila bertemu Pakistan dalam perlawanan separuh akhir Sabtu ini.

“Saya percaya kami akan beraksi dengan tempo permainan berbeza dan saya yakin kami akan menjaringkan gol pada perlawanan akan datang,” katanya.

Untuk rekod, Malaysia menang tiga perlawanan awal – mengalahkan Jepun 3-0, Oman (3-1) dan Korea Selatan (4-2) serta seri 0-0 dengan juara bertahan Asia, India. – Bernama

Tinggalkan Jawapan