Pengerusi SUHAKAM, Tan Sri Razali Ismail. - foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 02 OGOS 2018
Pengerusi SUHAKAM, Tan Sri Razali Ismail. - foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 02 OGOS 2018

KUALA LUMPUR – Kesal dengan hukuman mati yang dijatuhkan ke atas rakyat Malaysia, Prabu Pathmanathan kerana didapati bersalah menyeludup dadah di Singapura, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menggesa negara berkenaan menghapuskan hukuman lapuk itu.

Pengerusi Suhakam, Tan Sri Razali Ismail dalam kenyataan hari ini menegaskan, bahawa Perjanjian Antarabangsa Mengenai Hak-Hak Awam dan Politik (ICCPR) mengehadkan pelaksanaan hukuman mati hanya kepada jenayah yang paling serius.

Katanya, perjanjian itu telah ditafsirkan berulang kali oleh Jawatankuasa Hak Asasi Manusia yang bertanggungjawab kepada perjanjian itu bahawa kesalahan-kesalahan berkaitan dadah tidak termasuk di dalam tafsiran.

Sehubungan itu, katanya, SUHAKAM menggesa kerajaan Singapura supaya mengorak langkah sejajar dengan kesedaran sejagat dalam mengambil semua langkah perlu untuk menghapuskan hukuman mati.

“Sebagai negara maju dengan pencapaian teknologi yang amat besar yang membawa kepada kesejahteraan Singapura dan rakyatnya, Suhakam amat  kecewa apabila Singapura terus melaksanakan amalan draconian yang bertentangan dengan hak asasi manusia dalam menikmati kehidupan dan norma-norma peradaban yang progres,” katanya.

Prabu menjalani hukuman mati di Penjara Changi awal pagi tadi. Perkara itu disahkan oleh peguam keluarga mendiang N. Surendran. – MalaysiaGazette

Peguam keluarga sahkan Prabu dihukum mati pada subuh hari ini