Piala Malaysia
MFL nafi gambar tular di media sosial menunjukkan Stadium Shah Alam dipenuhi air

SHAH ALAM – Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menafikan gambar air bertakung di gelanggang perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 di Stadium Shah Alam, melibatkan pertemuan antara Terengganu FC (TFC) dan Perak, malam ini.

Menurut jurucakap MFL, gambar yang tular di laman media sosial menunjukkan Stadium Shah Alam dalam keadaan dipenuhi takungan air adalah tidak benar.

“Hujan sudah berhenti. Gambar yang tular itu tidak benar. Perlawanan akhir akan berlangsung seperti dijadual malam ini,” katanya ringkas ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pertembungan TFC dan Perak dalam pentas akhir itu mengimbau kembali kenangan pertemuan klasik kedua-dua pasukan berkenaan pada aksi final 1998 dan 2001.

Untuk rekod, Perak muncul juara Piala Malaysia 1998 selepas mencatat kemenangan menerusi sepakan penalti 5-3 selepas kedua-dua pasukan seri 1-1 sehingga tamat masa sebenar perlawanan.

Sementara, TFC (dikenali sebagai Terengganu pada 2001) pula dinobat juara Piala Malaysia 2001 selepas menumpaskan Perak 2-1 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan