ADUN Pilah, Nazaruddin Sabtu.

KUALA PILAH – Semua pihak diminta agar tidak menyebarkan khabar angin yang tidak benar berkaitan kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pilah, Mohamad Nazaruddin Sabtu, berikutan masalah kesihatan yang dialaminya ketika ini.

Ahli Parlimen Kuala Pilah, Eddin Syazlee Shith berkata sebaliknya, mereka seharusnya mendoakan kesihatan Mohamad Nazaruddin yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesenian, Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu negeri, bagi membolehkan beliau kembali menjalankan tugas seperti biasa.

“Keadaan kesihatan ADUN Pilah semakin positif walaupun banyak cerita kurang tepat yang timbul… daripada cerita perkara tidak baik saya nasihatkan lebih baik kita doakan kesihatannya.

“Saya percaya dan melihat kepada perkembangan positif beliau dari semasa ke semasa, insya-Allah dalam tempoh sesegera mungkin beliau dapat melaksanakan tanggungjawabnya sebaik mungkin,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Hari Intervensi Kesihatan Kampung Dioh: Jom Tahu dan Amal Kanser Pangkal Rahim dan Kanser Prostat, di sini, hari ini.- BERNAMA

Tinggalkan Jawapan