Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan bercakap ketika sesi sidang media pada Program Kesejahteraan Masyarakat India di Bawah Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India di Giant Kota Damansara, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 24 APRIL 2018
Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan. foto AFFAN FAUZI, 24 APRIL 2018

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi MIC, Datuk P. Kamalanathan membidas kenyataan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malek berhubung kehilangan peruntukan RM39.7 juta untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Bekas timbalan menteri pendidikan itu berkata, jumlah yang disebut oleh Maszlee itu bukanlah yang sebenar sebaliknya, peruntukan itu hanyalah sebanyak RM36 juta.

“Permohonan RM36 juta ini telah dibuat oleh Unit Khas Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (SEDIC) kepada Datuk Seri Najib Razak yang pada ketika itu merupakan Perdana Menteri Malaysia.

“Setelah meneliti permohonan daripada SEDIC, pada 9 Ogos 2017, Datuk Seri Najib Razak telah meminit surat tersebut kepada Mantan Ketua Setiausaha Perbendaharaan iaitu Tan Sri Irwan Serigar bahawa beliau setuju dengan cadangan yang telah dikemukakan oleh SEDIC dan mohon tindakan selanjutnya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kamalanathan berkata, kebiasaanya apabila Perdana Menteri telah memberi persetujuan dalam urusan sebegitu, proses memanifestasikan cadangan terletak dibawah Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan Malaysia dimana ianya akan dimuktamadkan dengan dana yang boleh diguna pakai.

Jelas beliau, dalam isu berkenaan, peruntukan RM36 juta itu dijadualkan untuk diturunkan kepada 22 SJKT selepas PRU-14 dengan harapan Barisan Nasional akan mengekalkan Pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Sebagaimana janji–janji peruntukkan sebelum PRU13 dilaksanakan sepenuhnya selepas Pilihanraya Umum tersebut, katanya.

Bagaimanapun katanya, apabila Kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan selepas PRU 14, Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan baharu mungkin terlepas pandang akan kelulusan ini.

“Mantan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak merupakan satu–satunya Perdana Menteri Malaysia yang benar–benar prihatin akan kemajuan infrastuktur SJKT di Malaysia.

“Dibawah pentadbirkan beliau dari tahun 2009 hingga 2018, hampir RM900 juta ringgit peruntukan untuk kesemua 524 telah disalurkan terus kepada akaun sekolah atau Lembaga Pengelola Sekolah untuk kemudahan kemudahan di SJKT. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan