Tan Sri Musa Aman
Tan Sri Musa Aman

KOTA KINABALU – Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman akan merayu terhadap keputusan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini berhubung kes Ketua Menteri Sabah yang sah.

Dalam satu kenyataan di sini, Musa berterima kasih kepada mahkamah itu yang menyampaikan keputusan bagi kes berkenaan namun beliau kecewa dengannya.

“Isu ini lebih daripada sama ada saya ketua menteri atau tidak. Ia mengenai kesucian dan pentafsiran sepatutnya oleh Perlembagaan Sabah dan kuasa Yang Dipertua Negeri Sabah untuk melantik dan memecat seorang Ketua Menteri.

“Saya berpendapat bahawa isu ini tidak selesai sepenuhnya hari ini dan saya mengarahkan peguam saya untuk merayu atas keputusan hari ini,” katanya.

Semasa dihampiri pemberita selepas Hakim Datuk Yew Jen Kie menyampaikan keputusan sama ada Musa atau Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal adalah berhak sebagai Ketua Menteri, peguam Musa, Tengku Fuad Tengku Ahmad berkata, anak guamnya menghormati keputusan Yew walaupun tidak setuju dalam banyak dapatan yang diperoleh Yew.

“Tetapi ia dapatan yang sah dan kami menghormati mereka.

“Namun saya mahu menegur bahawa tidak ada kes Mahkamah Persekutuan mengenai Undang-undang Perlembagaan Sabah dan kami masih berpendirian kedudukan Perlembagaan Sabah berbeza daripada Perak,” katanya dan menambah bahawa keputusan Mahkamah Tinggi berhubung Ketua Menteri Sabah, yang sah, adalah sepenuhnya berdasarkan kes Menteri Besar Perak pada tahun 2009.

Tengku Fuad berkata, hujah beliau bahawa Perlembagaan Sabah berbeza daripada Perak, tidak diterima oleh mahkamah berkenaan.

“Namun Hakim Datuk Yew memberi alasan beliau dan kami menghormati alasan beliau dan alasan-alasan itu akan membentuk asas untuk rayuan kami.

“Ini adalah Malaysia baru dan kehakiman adalah bebas. Mari cabar (keputusan mahkamah hari ini) hingga seterusnya.

“Biar Mahkamah Rayuan mendengar kes ini setidak-tidaknya mengenai Perlembagaan Sabah,” katanya. – MalaysiaGazette