Shamsul Anuar Nasarah
Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR – Sangat mudah kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah, jika janji gagal dilaksanakan, boleh minta maaf atau sekurang-kurangnya menuding jari salahkan Barisan Nasional (BN).

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, apa yang berlaku bukan berpunca daripada kerajaan BN, tetapi kerana kelemahan PH.

“Saya nak bagitau Wan Saiful (Wan Jan), sejak dulu lagi iaitu sebelum kerajaan PH memerintah, Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) sudah tahu sukar untuk melaksanakan polisi memulakan bayaran di tangga gaji RM4,000.

“PTPTN sudah lama mengkaji perkara ini. Ketika BN mengendalikan PTPTN kita sudah menghantar pegawai ke luar negara mengkaji pelbagai perkara termasuk cadangan ini. Jadi PTPTN sudah tahu ianya sukar kerana membebankannya.

“Namun, dengan hebatnya Pengerusi PTPTN Kerajaan PH (Wan Saiful) umumkan akan lakukan reformasi pada PTPTN,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Menurut Shamsul Anuar, beliau teruja mahu mengikutinya sebab mungkin ada idea baik yang akan Wan Saiful bawa gagal dilakukan sewaktu beliau mengendalikan PTPTN.

Namun ujarnya, “permohonan maaf” yang rakyat dengar hari ini.

Katanya, beliau ingin beritahu Wan Saiful hanya minta pengurusan dan Pegawai PTPTN mengkaji manifesto PH berkaitan PTPTN.

Justeru, kata beliau, ia hagal dilaksanakan sebab jawapan tidak boleh itu sudah ada sejak beliau menjadi pengerusi lagi kerana PTPTN telah lama mengkaji perkara itu.

“Saya ingin nyatakan bahawa di waktu BN mengendalikan PTPTN, ia telah ke arah menjadi badan pembiaya pendidikan utama di Malaysia.

“Pelbagai jabatan dan agensi yang menyediakan dana pinjaman pendidikan mendapat khidmat nasihat dan bekerjasama dengan PTPTN.

“Malah, pelbagai negara luar telah datang mengkaji apa yang PTPTN lakukan dan mereka meminta bantuan dan pandangan kita bagimana mahu laksanakan apa yang PTPTN lakukan termasuk mengenai Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

Ini ujar Shamsul Anuar, menunjukan segala polisi dan dasar PTPTN adalah baik, tetapi beliau tidak nafikan penambahbaikan perlu dibuat.

Sehingga hari ini, ujarnya tiada suatu dasar baru yang jelas Wan Saiful lakukan pada PTPTN berbanding di zaman BN sebelum ini pelbagai pendekatan dilakukan.

“Saya ingat pelbagai sesi Sidang Meja Bulat PTPTN lakukan dengan pelbagai pihak. Kita punyai banyak cadangan dan semua dikaji oleh PTPTN.

“Sebab itu, PTPTN semasa BN hanya laksanakan yang baik untuk semua rakyat sahaja kerana kita mahu menjaga semua kelompok dan golongan.

“Jadi memang baik meminta maaf. Namun pelajar dan rakyat yang mengundi PH kerana mereka yang terpengaruh dengan janji PH tetap ditipu,” katanya. – MalaysiaGazette