Mahathir
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyempurnakan gimik perasmian sambil diiringi Presiden SGM, Michael Kok (kanan) dan Penasihat Pameran Gemilang, Datuk Seri Dr. Rais Yatim (kiri) pada Majlis Perasmian Pameran Gemilang di Wisma Kebudayaan SGM, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 11 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, bidang seni memainkan peranan yang cukup penting sebagai jambatan penghubung antara kepelbagaian kaum dan etnik di negara ini.

Perdana Menteri berkata, golongan pelukis yang mampu menghayati secara mendalam bidang seni dan kebudayaan wajar dikagumi kerana hasil kerja mereka memberi pendedahan ilmu kepada peminatnya untuk memahami sesuatu perkara atau peristiwa.

“Saya percaya bukan mudah untuk menghasilkan kerja seni yang mampu mempamerkan kepelbagaian itu di dalam satu atau dua kerja seni saja kerana kumpulan etnik dan sub etnik di Malaysia melebihi 100 kumpulan,” katanya ketika berucap menyempurnakan majlis perasmian Gemilang Pameran Koleksi Lukisan Wajah dan Budaya Etnik Malaysia di Wisma Soka Gakkai Malaysia (SGM), hari ini.

Yang turut hadir, penasihat pameran terbabit, Tan Sri Dr. Rais Yatim yang juga pemimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Negeri Sembilan dan Presiden Soka Gakkai Malaysia, Michael Kok Fook On.

Pameran Koleksi Lukisan Wajah dan Budaya Etnik Malaysia mempamerkan 44 lukisan yang dihasilkan oleh pelukis terkenal, Ismail Embong dan anaknya, Fatimah Rohani atau lebih dikenali sebagai Emma Maembong.

Pameran itu berlangsung sejak 13 Oktober lalu hingga 2 Disember ini di Wisma Kebudayaan Soka Gakkai Malaysia.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, masyarakat seharusnya menghargai hasil seni seseorang individu kerana ia mampu memperlihatkan berapa luasnya kepelbagaian bidang seni itu sendiri.

“Ini penting untuk kita mengenali latar belakang, budaya dan adat kumpulan-kumpulan etnik yang berlainan dan apabila dikongsi dengan masyarakat umum, ia secara langsung memberi nilai positif kepada hubungan antara kaum,” katanya -MalaysiaGazette