Semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini diminta mengadakan solat hajat bagi mendoakan agar anggota mereka, Wan Mohd Arif Wan Yahya, yang dikhuatiri lemas dan hilang di Sungai Paka dekat Kampung Durian Mentangau, Dungun, Jumaat lepas ditemui.

KUALA TERENGGANU – Semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini diminta mengadakan solat hajat bagi mendoakan agar anggota mereka, Wan Mohd Arif Wan Yahya, yang dikhuatiri lemas dan hilang di Sungai Paka dekat Kampung Durian Mentangau, Dungun, Jumaat lepas ditemui.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata beliau telah memaklumkan perkara itu kepada semua Ketua Polis Daerah sebagai ikhtiar di samping meneruskan operasi mencari dan menyelamat yang memasuki hari keempat hari ini.

“Saya ingin sampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa. Kami di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu turut mengadakan tahlil dan solat hajat bagi memohon pertolongan Allah supaya menemui jenazah beliau dan suspek.

“Ia adalah ikhtiar kita sebagai orang Islam selain usaha-usaha lain seperti menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) dan sebagainya dalam operasi mencari dan menyelamat,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan surat tawaran umrah oleh Pengerusi Yayasan 1 Ummah, Datuk Jailani Ngah kepada johan Tilawah Al-Quran peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen, Koperal Mohd Zamzuri Irwan Mat Jusoh, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 9 November lalu, Wan Mohd Arif, 28, sedang mengejar seorang suspek kes samun yang dikenali sebagai ‘Zam Ayam’, namun anggota polis itu dan suspek tergelincir ke dalam sungai tersebut.

Aidi berkata, siasatan pihaknya mendapati Wan Mohd Arif mematuhi prosedur operasi standard ketika melaksanakan tugasnya semasa kejadian itu.

“Beliau (Wan Mohd Arif) memang sudah arif dengan kawasan itu kerana bertugas di Balai Polis Paka dan selalu melakukan rondaan. Selain itu, beliau juga seorang anggota yang aktif bersukan dan sentiasa cergas.

“Beliau sudah lama memerhatikan suspek yang dipercayai terlibat dengan kes pecah rumah serta samun di kawasan berkenaan. Jadi apabila berjaya menjejaki suspek, beliau bersemangat untuk menangkapnya tetapi malangnya tergelincir ke dalam sungai,” katanya.

— BERNAMA