Bekas Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 14 NOVEMBER 2018.
Bekas Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 14 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa hairan mendengar desas-desus rombakan barisan Kabinet kerajaan Pakatan Harapan yang dikatakan akan berlaku dalam masa terdekat.

Malah kata Najib, kelaziman rombakan sesebuah Kabinet akan berlaku selepas sekurang-kurangnya setahun atau setahun setengah melainkan ada sesuatu yang tidak kena dengan barisan tersebut.

“Kebiasannya, rombakan Kabinet berlaku dalam tempoh masa yang lama sedikit. Dalam setahun hingga setahun setengah. Itu adalah kelazimannya.

“Jika berlaku dalam tempoh terdekat ini, maka kita boleh buat tafsiran bahawa ada dalam kalangan menteri yang tidak berwibawa atau menjalankan tugas yang telah diberikan tidak seperti yang diharapkan,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen sebentar tadi.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak menolak andaian untuk mengadakan rombakan Kabinet selepas pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dr Mahathir dipetik bercakap kepada akhbar Singapura, The Straits Times bahawa rombakan Kabinet mungkin berlaku jika PKR menyerahkan nama-nama baharu untuk dicalonkan ke dalam Kabinet.

Bagaimanapun, perdana menteri berkata, walaupun PKR boleh mengemukakan nama-nama calon tetapi sebagai perdana menteri beliau mempunyai pandangan sendiri berhubung perkara tersebut dan bergantung kepadanya untuk membuat keputusan.

Sebelum ini tersebar sebuah portal mengenai rombakan kabinet bulan depan kerana dikatakan Dr Mahathir tidak berpuas hati dengan prestasi beberapa menteri khasnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). –MalaysiaGazette