Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad bersama Calon Ketua AMK, Afif Bahardin (kanan) ketika Kongres Nasional Keadilan ke-13 di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 16 NOVEMBER 2018.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad bersama Calon Ketua AMK, Afif Bahardin (kanan) ketika Kongres Nasional Keadilan ke-13 di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 16 NOVEMBER 2018.

SHAH ALAM – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat yakin Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri kelapan apabila cukup tempoh dipersetujui Pakatan Harapan (PH).

Ketuanya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, sayap parti itu bersyukur kerana Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson telah dibebaskan dari penjara dan mengambil tempat yang sah sebagai bakal Presiden PKR dan Ahli Dewan Rakyat.

“Kita yakin beliau akan memimpin parti kita terus maju ke hadapan dan kita juga tahu akan tiba masanya beliau akan menjadi Perdana Menteri kelapan negara dan mengetuai kerajaan PH.

“AMK akan sentiasa berada di sampingnya ketika beliau bekerja untuk menggerakkan Malaysia tercinta ini ke hadapan.

“Kita juga mengucapkan terima kasih kepada Presiden dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail selama bertahun-tahun berkhidmat dan berkorban tidak kenal erti lelah,” katanya berucap pada Ucapan Dasar Ketua AMK di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam di sini hari ini.

Nik Nazmi yang bakal menyerahkan jawatan Ketua AMK kepada pemenang, Dr. Afif Bahardin pada Ahad ini berkata, PKR dan kerajaan PH kini berada di barisan hadapan dalam proses Malaysia Baharu, walaupun kerajaan terdahulu yang menjadi pembangkang mengkritik parti itu sebagai weakest link.

Namun, katanya, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei lalu, PKR antara komponen terbesar Ahli Parlimen iaitu 50 kerusi dan 70 kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri, dua Menteri Besar dan ramai sebagai anggota Exco Kerajaan Negeri.
“Sesiapa sahaja yang berfikir PKR adalah “weakest link” mereka sama sekali tersilap,” katanya.

Sepanjang menghadapi PRU14, Nik Nazmi berkata, AMK dan Pemuda PH telah memainkan peranan penting dengan mempertaruhkan 104 calon anak muda iaitu 23 Parlimen dan 81 DUN.

Katanya, daripada jumlah yang bertanding itu, 13 menang kerusi Parlimen dan 45 menjadi ADUN.

Beliau mengingatkan AMK dan Pemuda PH agar terus berada di barisan hadapan untuk perubahan politik di negara ini dengan menyokong parti, gabungan dan kerajaan tetapi pada masa sama tidak takut untuk menegur apabila perlu. – MalaysiaGazette