ICERD
Pengerusi Gagasan Tiga Malaysia (G3), Raggie Jesry pada Majlis Pengenalan Pertubuhan Sekretariat Gagasan Tiga Malaysia (G3) di Pandan Kapital, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 21 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Gerakan Gagasan Tiga (G3) mendakwa isu Ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) sengaja ditimbulkan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Malah, Kit Siang juga didakwa cuba membawa agenda ala zionis ke negara ini, kata Pengerusi G3, Raggie Jessy dalam satu sidang media hari ini.

Malah Raggie menganggap ahli Parlimen Iskandar Puteri itu sebagai ‘bapa perkauman’ yang disifatkan terlalu rasis apabila cuba membawakan isu tersebut.

“Ada satu perkara yang orang Melayu terlepas pandang. Bangsa DAP sengaja mengungkit isu ICERD yang dibawa oleh Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang.

“Mereka kata ICERD ini isu perkauman tapi saya kata ini isu agama. Ia memang isu diskriminasi kaum tapi dikaitkan dengan Islam dan Artikel 121 (1) a Perlembagaan Persekutuan yang perkenalkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1988,” katanya.

Menurut Raggie, DAP dan Kit Siang sudah berperang dengan Tun Dr. Mahatir Mohamad sejak dari dulu tetapi namun selepas bersama dalam sebuah kerajaan baharu mereka tidak berani mengutarakan artikel tersebut.

“Jadi, mereka buat secara tidak langsung. Mereka katakan isu ICERD ini tidak ada kena mengena dengan agama. Sorry, isu ICERD secara langsung terlibat dengan agama kerana orang Melayu Islam,” tegasnya.

Tambah beliau, apa yang berlaku pada hari ini hingga cuba menenggelamkan isu bantahan terhadap ICERD itu ialah apabila kerajaan terlalu taksub dengan isu kehilangan wang dan penyalahgunaan kuasa yang kononnya dilakukan oleh kerajaan terdahulu.

ICERD adalah salah satu konvensyen antarabangsa hak asasi manusia yang telah berkuatkuasa dari tahun 1969.

Malaysia dan Korea antara negara yang tidak pernah menandatanganinya apalagi meratifikasinya, katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy baru-baru ini mengumumkan komitmen kerajaan untuk mengesahkan enam triti hak asasi manusia termasuk ICERD pada suku pertama tahun depan.

Isu ratifikasi ICERD turut mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat mahupun kerajaan PH.

Terbaharu, Mahathir berkata ICERD mustahil dilaksanakan kerana pelaksanaannya memerlukan Perlembagaan Persekutuan digubal semula keranaia memerlukan majoriti dua pertiga Parlimen.

Malah, penggubalan Perlembagaan Persekutuan ‘agak mustahil’ dilakukan memandangkan jumlah dan reaksi wakil-wakil rakyat di pihak kerajaan dan pembangkang berhubung perkara terbabit. – MalaysiaGazette