Wan Zulkiflee Wan Ariffin

KUALA LUMPUR – Keuntungan bersih Petronas pada suku ketiga berakhir 30 Sept, 2018, naik 43 peratus kepada RM14.3 bilion berbanding RM10 bilion pada suku sama tahun lepas.

Perolehan naik 19 peratus kepada RM63.9 bilion berbanding RM53.68 bilion dicatatkan dalam tempoh sama pada 2017, sebahagian besarnya didorong oleh purata harga direalisasikan lebih tinggi untuk produk utama, dengan kecekapan yang meningkat di seluruh kumpulan, katanya dalam kenyataan hari ini.

Syarikat itu berkata ini sebahagiannya diimbangi oleh kesan daripada ringgit yang kukuh berbanding kadar tukaran dolar US dan jumlah jualan yang lebih rendah terutamanya bagi gas asli cecair (LNG).

Pelaburan modal untuk suku tahun itu sebanyak RM6.7 bilion, sebahagian besarnya oleh projek-projek huluan, katanya.

Bagi tempoh sembilan bulan pertama, kumpulan itu mencatatkan peningkatan perolehan sebanyak 12 peratus kepada RM181.1 bilion manakala keuntungan bersih melonjak 50 peratus kepada RM41 bilion berbanding tempoh sama tahun lepas.

“Prestasi meningkat itu disebabkan perolehan lebih tinggi, susut nilai bersih ke atas aset yang lebih rendah dan perbelanjaan lain. Ini sebahagiannya diimbangi oleh kos produk yang lebih tinggi sejajar dengan harga yang lebih tinggi, dengan peningkatan susut nilai dan pelunasan, serta perbelanjaan cukai,” kata Petronas.

Pelaburan modal untuk tempoh itu sebanyak RM26.5 bilion, sebahagian besarnya disebabkan projek huluan yang menyokong strategi pertumbuhan dan kecemerlangan operasi kumpulan, katanya.

Jumlah aset naik kepada RM623.1 bilion sehingga 30 Sept, 2018 berbanding RM599.8 bilion sehingga 31 Dis, 2017.

Sehingga 30 Sept, 2018, nisbah kadar hutang kekal sebanyak 16.1 peratus manakala pulangan modal purata yang digunakan (ROACE) meningkat kepada 12.6 peratus berbanding 9.8 peratus sehingga 31 Dis, 2017, sejajar dengan keuntungan yang lebih tinggi, menurut syarikat itu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin, berkata Petronas terus mencatatkan satu lagi prestasi suku tahun yang kukuh, yang terus mengukuhkan kedudukan kewangannya.

“Keputusan lebih baik itu didorong oleh usaha menambah baik operasi yang berterusan di seluruh kumpulan dan disokong oleh harga minyak yang meningkat dalam tempoh tersebut.

“Petronas dijangka mencatatkan prestasi akhir tahun yang kukuh dengan mengekalkan tumpuan kami kepada memacu usaha kecekapan di semua operasi kami.

“Penurunan harga minyak baru-baru ini menunjukkan ciri tidak menentu dan kitaran industri dan kami akan terus mengekalkan unjuran berhemat kami dalam landskap ini, selain terus teguh dalam melaksanakan strategi pertumbuhan kami untuk memastikan kemajuan dan kemampanan syarikat dalam jangka masa panjang,” katanya. – MalaysiaGazette