Maszlee
Menteri Pendidikan, Maszlee Malik

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan mengesahkan potongan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berpendapatan RM2,000 akan bermula 1 Januari 2019.

Menterinya, Dr. Maszlee Malik berkata, ini adalah antara yang ‘terbaik’ boleh dilakukan oleh kerajaan dengan potongan gaji serendah RM40 bagi peminjam bergaji RM2,000.

Jelasnya, kerajaan sedang bertungkus lumus dalam menunaikan janji manifesto tetapi pada masa sama antara jalan terbaik adalah meletakkan kadar paling rendah untuk mereka bergaji RM2,000.

“Kita sedang berusaha. Jumlah ini akan meningkat berdasarkan pendapatan dan seandainya keadaan kewangan kerajaan sudah ‘pulih’, kita akan naikkan kembali kepada yang bergaji RM4,000 dan ke atas.

“Ketika ini, kita letak RM2,000 dengan potongan RM40, jika hendak bayar lebih juga di alu-alukan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen sebentar tadi.

Sebelum ini kerajaan bersetuju menetapkan pemotongan gaji berjadual bagi peminjam PTPTN kepada mereka yang berpendapatan RM2,000 dan ke atas sebulan berbanding RM1,000 berdasarkan Belanjawan 2019 sebelum ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berkata selain itu, kerajaan turut memutuskan pengecualian bayaran balik PTPTN bagi peminjam yang mendapat keputusan kelas pertama turut diperluas kepada  golongan isi rumah golongan pertengahan (M40), berbanding isi rumah berpendapatan rendah (B40) sebelum ini.

Dalam pada itu, Maszlee yang juga merupakan Ahli Parlimen Simpang Renggam (PH) berkata, pengecualian pembayaran PTPTN kepada graduan yang mendapat ijazah sarjana muda kelas pertama telah diluluskan Kabinet.

“Saya dan Menteri Belia dan Sukan (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) yang bersama-sama berjuang tentang isu ini telah mendapat kelulusan kabinet. Ini adalah antara yang terbaik yang kami boleh lakukan.

“Ini bukan pengakhiran, jika pulih kewangan, kita akan buat apa yang telah dijanjikan,” tegasnya. –MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan