Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak
Najib Razak

KUALA LUMPUR- Kerajaan Pakatan Harapan menghukum peminjam-peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang membuat pembayaran mengikut perjanjian dengan teruk apabila mengumumkan mekanisme Potongan Gaji Berjadual.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, mekanisme baharu itu memaksa para peminjam PTPTN membayar pinjaman pada kadar sangat tinggi berbanding kaedah terdahulu.

Malah, ada yang perlu membayar sehingga lebih RM1,200 setiap bulan tanpa mengira komitmen dan tanggungan masing-masing.

Tambahnya, semasa pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN), para peminjam boleh membayar mengikut kemampuan masing-masing manakala peminjam yang ingkar akan disenaraihitamkan dan dilarang untuk keluar negara.

Bagaimanapun tindakan menyenaraihitamkan peminjam ingkar itu telah mendapat bantahan pihak pembangkang dan aktivis pelajar ketika itu dan sering dijadikan modal politik.

“Kalau dah tak boleh tunai janji manifesto atau beri pendidikan percuma, sekurang-kurangnya copy and paste apa BN buat dahulu.

Beri perhatian, salinlah jawapan dan ambil nota jika tak faham. Baru kita boleh bagi skor 9.95 kepada “Menteri masih belajar”,” katanya di dalam hantaran di Facebooknya hari ini.

Menurut Najib, semasa pemerintahan BN, kerajaan memang menggalakkan peminjam untuk membayar balik pinjaman PTPTN tetapi tetap mengambil kira kos sara hidup peminjam, di samping memberikan diskaun sehingga 20 peratus bagi bayaran balik sekali gus, separa atau melalui potongan gaji.

Bagi pelajar cemerlang pula, pinjaman pendidikan mereka akan ditukarkan kepada biasiswa.

“Nama dia Wan Saiful. Ingatlah nama dan wajahnya. Sekali dengan Maszlee.

“Apa nama pejuang mahasiswa itu? Kalau jumpa tanya khabar.

“Kesemua mereka ini sejak masuk ke Kementerian Pendidikan, kerja mereka menyusahkan orang sahaja.

“Dah pinjam, bayarlah balik!”,” katanya sinis.

Malah Najib turut mempertikaikan tindakan PTPTN dan Kementerian Pelajaran kerana melaksanakan dasar baharu tanpa mengadakan perbincangan dan konsultasi dengan pihak-pihak berkepentingan sehingga mendapat bantahan ramai.-MalaysiaGazette

 

Tinggalkan Jawapan