Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. foto AFIQ RAZALI, 08 OGOS 2018.
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. foto AFIQ RAZALI, 08 OGOS 2018.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menafikan menjadi dalang yang menyebabkan ahli-ahli UMNO Sabah beramai-ramai untuk keluar parti hari ini.

“Terlalu banyak tuduhan terhadap saya yang berhubung kait dengan UMNO sejak enam bulan lepas dan kesemuanya telah terbukti tidak benar.

“Berhubung perkembangan semasa di Sabah, saya sekali lagi menegaskan bahawa tidak terlibat dengan sebarang urusan yang membuatkan mereka meninggalkan parti,” katanya di dalam satu hantaran terbaharu di laman Twitter.

Bekas Naib Presiden UMNO itu juga turut mengepil bersama link berita sebuah portal yang memetik sumber mendakwa beliau mungkin diperkudakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai instrumen penyebab ahli-ahli UMNO meninggalkan parti.

Sebelum itu, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika membalas satu tweet kepada beliau berkata, terdapat “puak bangsawan” yang mendorong kepada tindakan keluar beramai-ramai itu.

Meskipun tidak menyebut Hishamuddin, agak jelas cucu pengasas UMNO dan anak bekas Perdana Menteri ketiga itu datang daripada latar belakang bangsawan.

Awal hari ini, sejumlah 13 wakil rakyat negeri itu dan 21 ketua bahagian UMNO Sabah mengumumkan untuk meninggalkan parti dan menyatakan sokongan kepada Pakatan Harapan.

Antara yang berbuat demikian adalah bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Keruak, Ahli Parlimen Beluran yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Ronakd Kiandee dan Ahli Parlimen Sepitang, Yamani Hafez Musa.-MalaysiaGazette