Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran. - foto AFFAN FAUZI, 19 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran mendedahkan beliau tidak tahu menahu berhubung dakwaan wujudnya surat yang mengandungi tandatangan dua Ahli Parlimen dari MIC yang menyokong Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau bagaimanapun mengakui tidak salah untuk mereka menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir kerana itu bukan bermakna mereka akan ‘lompat parti’.

“Saya tidak pasti dan maklum tentang isu tandatangan sokongan ini tetapi apa yang saya tahu tidak ada salahnya untuk menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Dr Mahathir kerana beliau adalah Perdana Menteri.

“Dulu beliau juga adalah ketua yang telah menerajui negara dan kami telah bersama beliau sebelum ini. Kita kenal dengan keupayaan serta kepimpinan beliau. Sokongan dan keluar lompat parti adalah dua isu berlainan,” katanya kepada MalaysiaGazette sebentar tadi.

Dalam masa sama, beliau yang merupakan Yang Dipertua Dewan Negara turut mempersoalkan pendirian Ahli-Ahli Parlimen yang lompat parti kerana selepas Dr Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, siapa yang akan menerajui Parti Pribimi Bersatu Malaysia (PPBM)

“Perlu di ingat juga, selepas Tun Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin, siapa yang menerajui PPBM? Jangan kerana dengar guruh di langit, air tempayan dibuang.

Vigneswaran mengulas tentang dakwaan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin seramai 36 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sudah menandatangani surat akuan sokongan kepada Dr Mahathir Mohamad.

Hamzah berkata, tindakan memberi sokongan kepada Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri bukan dibuat secara tergopoh-gapah.

“(Seramai) 33 Ahli Parlimen UMNO, satu PBRS (Parti Bersatu Rakyat Sabah) dan dua MIC tandatangan sokongan kepada PM (Perdana Menteri). Keputusan ini bukan buat sehari dua, tetapi sudah hampir sebulan yang lalu.

“Kumpulan yang tandatangan ini ikhlas mahu pastikan kestabilan kerajaan sekarang dalam memastikan tidak ada pihak gunakan parlimen untuk jatuhkan PM sebab kita ada dengar ura-ura,” kata Hamzah Zainuddin. -MalaysiaGazette