Suhaimi Kassim
Suhaimi Kassim

SATU perkara yang jarang diperhatikan, “Orang yang lemah dalam masyarakat sebenarnya dialah orang yang telah menguatkan sesuatu aktiviti atau kehidupan dalam bermasyarakatan”.

Kata-kata ini yang dizahirkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Negeri Sembilan, Suhaimi Kassim (YB Suhaimi) telah menarik perhatian MalaysiaGazette (MG) untuk mendekatinya secara rapat.

Pemimpin masa depan yang sarat dengan ilmu agama dan menerapkan nilai kesimbangan dunia akhirat serta fizikal dan spiritual dalam pentadbirannya berjaya menarik penyatuan penduduk pelbagai lapisan usia dan bangsa untuk meneruskan kesinambungan hidup dalam keadaan yang serba mencabar.

Dengan peluang dan kesempatan yang ada, penulis sempat berkongsi pandangan beliau dalam banyak perkara, terutama wawasan dan visinya sebagai ADUN baharu DUN Lenggeng untuk rakyatnya.

Berikut adalah temubual MG dengan YB Suhaimi dalam suasana santai di pejabat beliau baru-baru ini.

Selain memikul amanah sebagai ADUN, Suhaimi juga turut menghasilkan buku ilmiah untuk bacaan umum.
Selain memikul amanah sebagai ADUN, Suhaimi juga turut menghasilkan buku ilmiah untuk bacaan umum.

MG: YB antara wakil rakyat muka baharu dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan ditakdirkan menang dalam PRU14 Mei lalu. Apa yang YB cuba lakukan untuk masyarakat di sini?

Sudah hampir tujuh bulan saya menjadi wakil rakyat, antara perkara penting yang saya tekankan ialah bekerja secara berkumpulan atau berjemaah. Kerana kita ini ada pelbagai kemampuan dan pelbagai kelemahan.

Setiap orang kelebihannya tidak sama, dan kelemahan pun tidak sama. (Tapi) apabila kita bergabung, kita saling tutup menutup kelemahan kawan-kawan kita.

Satu perkara yang jarang diperhatikan, orang yang lemah dalam masyarakat sebenarnya dia telah menguatkan orang yang lemah itu dalam masyarakat. Contohnya, isteri, dia menyempurnakan suami. Kalau isteri tidak dihargai, suaminya akan bermasalah besar. Tapi ramai yang tidak melihat perkara ini. Isteri yang menjadi mangsa.

Matlamat saya ialah bantulah masyarakat yang susah, (kerana) dalam tidak sedar kita telah menjadi kaunselor kepada mereka. Tetapi ada sekumpulan kecil masyarakat buat-buat susah, padahal mereka tidak susah. Orang seperti ini kita tidak boleh bantu mereka dari segi kewangan, kerana kalau kita bantu mereka akan menjadi bertambah masalah. Kita kena keraskan jiwa kita, bantu mereka dengan khidmat nasihat.

Bagaimana YB hendak memulakan formula membantu dengan khidmat nasihat itu?

Perkara ini juga boleh melibatkan sekumpulan kawan-kawan yang boleh dijadikan contoh, ikutan ataupun ikon. Antara cerita ihsan ini kita sentiasa menghargai orang lemah kerana orang lemah inilah yang akan menyempurnakan kita. Pegawai atasan kalau pekerja bawahan tidak ada, sudah tentu pegawai itu tidak boleh selesaikan kerjanya.

Tapi kita sudah sampai ke suatu keadaan, orang besar ini sombong dan tidak ada sifat ihsan atau merendah diri dengan orang yang kurang bernasib baik. Sebab itu saya galakkan sahabat-sahabat bekerjalah membantu masyarakat secara berjemaah, dan setiap kita kena saling menghargai kelebihan sahabat-sahabat dan juga kena tutup menutup kelemahan sahabat-sahabat.

Bila kita buat kerja seperti macam itu, masyarakat akan melihat kita sebagai satu entiti yang besar dan tidak akan nampak kelemahannya sebab setiap kumpulan saling tutup menutup. Di mana kelemahan? Tidak akan ada kelemahan, sebab kelemahan itu ditutup.

Contohnya di DUN Lenggeng, ketua kampung ada 10 orang, saya pusatkan pejabat mereka di Pusat ADUN Lenggeng. Mereka datang berganti-ganti, mereka tidak perlu bekerja sepanjang masa. Mereka ada jadual masing-masing untuk layan keperluan rakyat dalam satu DUN ini.

Kalau betul rakyat itu susah, kita pergi ke rumah mereka, kita tengok apa masalah yang mereka hadapi berdasarkan aduan. Bila kita kerja macam itu, sahabat-sahabat akan ada kelapangan untuk buat kerja masing-masing dan pada masa sama kita dapat teruskan berkhidmat kepada masyarakat.

Perkara sama juga saya buat di kawasan (mukim) Pantai dan Pancor. Di Pancor ini kurang sedikit kerana majoritinya rakyat kelas menengah. Kalau di Pantai dan Lenggeng masyarakatnya adalah luar bandar.

Itu serba sedikit yang saya lakukan sekarang dan masih lagi membuat kerja kebajikan, dan yang penting bagi saya kalau hendak membangunkan Lenggeng ini, kita tidak boleh semata-mata membangunkan secara fizikal, kita kena bangunkan spiritualnya juga.

Apa yang ada dalam minda YB untuk menjadikan hasrat ini sebagai kenyataan?

Sebab itu saya selalu beri perumpamaan, hati yang tenang boleh tenangkan orang. Tapi kalau hati sakit, yang keluar (kenyataan) dari mulutnya pun menyakitkan hati orang.

Justeru, saya gunakan satu slogan iaitu “Lenggeng Sejahtera”. Kenapa sejahtera? Kerana bagi saya sejahtera ini boleh mensejahterakan orang, tidak semestinya orang itu akan kaya. Janji dia lapang walaupun tidak kaya. Dia tahu keperluannya dan selebih itu adalah tambahan. Kalau ada lebihan, menyumbanglah. Sumbangkan masa, sumbangkan tenaga, sumbangkan khidmat bakti, kalau ada duit sikit sumbangkan duit.

Kita akan dapat satu masyarakat yang sentiasa bersyukur dan menyumbang. Orang kaya selalu merasakan tidak pernah cukup dengan kekayaan yang dimiliki. Ini akan merosakkan orang lain. Bila terlampau kaya, dia ikat pekerja bawah dia bekerja bermati-matian semata-mata untuk dapatkan duit untuk tambah kaya dan dan secara tidak sedar mereka akan mengabaikan keluarga, tidak ada masa untuk belajar dan bermasyarakat kerana hendak kejar kekayaan. Akhirnya yang miskin bertambah miskin, kerja pagi sampai petang tidak cukup untuk tampung keluarga, kena kerja lagi sebelah malam.

Jadi, apa usaha YB untuk mereka?

Perkara seperti ini yang saya sedang usahakan, pembangunan Lenggeng ini mesti seiring fizikal dan spiritual dan pembangunan spiritual ini dibalikkan semula kepada panduan al-Quran, yang mana al-Quran ini penuh dengan Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

Ada KPI takwa, ada KPI ihsan dan KPI takwa itu bagaimana kita melihat masyarakat mengamalkan, dan KPI ihsan pula macam mana kita melihat masyarakat suka berihsan sesama mereka.

Ini sebenarnya yang saya sedang buat dan akan buat. Satu perkara yang saya letakkan sasaran ialah saya nak bina sebuah bandar Islam di Lenggeng yang akan berpusat di Bandar Tasik Senangin (BTS).

Bagaimana rupa bentuk bandar Islam yang YB mahu rekabentuk. Adakah membina banyak pusat atau sekolah tahfiz dan sebagainya?

Tidak semestinya perlu banyak ada pusat atau sekolah tahfiz. Saya meletakkan tiga perkara sahaja sebagai tanda Lenggeng ini adalah bandar Islam.

Pertama, ekonomi Islamnya yang berasaskan kepada kejujuran, sifat amanah ketika berniaga dan sebagainya. Ramainya orang berniaga tidak jujur dan sampai ke satu falsafah, kalau tidak menipu nanti lambat kaya. Ini yang saya mahu ubah, bahawa kekayaan itu sebenarnya apabila Allah kayakan jiwa kita, bukan kayakan harta. Tetapi kita tidak nafikan ekonomi Islam dan rangkaian-rangkaiannya juga.

Kedua, bumi Lenggeng ini luas tanahnya dan saya akan bangunkannya dengan pertanian dan kita sebenarnya sudah sampai ke satu peringkat makanan negara sudah terlalu banyak diimport. Jadi, di sini ada banyak ruang.

DUN Lenggeng akan mengisi ruang-ruang makanan yang diimport ini. Saya akan bangunkan. Pertanian ini adalah sebuah rangkaian yang besar. Ada huluan, ada pertengahan, ada hiliran dan kemudian yang paling penting rangkaian peraihnya.

Ramai yang ingat pertanian ini hanya tanam pokok sahaja, mereka tidak fikir bajanya (huluan) dan mereka tidak fikir macam mana pasarannya. Sedangkan rangkaian ini adalah yang besar, belum campur lagi rangkaian peraih yang melibatkan satu kumpulan manusia yang ramai dan saya hendakkan mereka ini jelas mempunyai sifat Islamnya. Tidak mengkhianati, tidak berbohong, orang yang menepati janji dan amanah ketika berniaga.

Ketiga, pendidikan al-Quran, Belajar dan mengajar satu perkara. Mendidik juga satu perkara lain. Mendidik ini menuntut kita perlu rapat dengan orang yang kita didik. Emak ayah jaga anak macam touch n go, anakpun menjadi liar walaupun cerdik, dan walaupun cerdik, belum tentu hatinya baik.

Emak ayah ini bagi saya kena jaga dan pandangkan fungsi mendidik semula dan bagi saya juga orang tua mesti menjalankan fungsi mendidik masyarakat, bukan menjadi ustaz semata-mata. Yang tua ini sudah pencen secara umumnya dan saya selalu menekankan dalam iman tidak ada pencen, melainkan kematian.

Jadi, jalankanlah kerja itu. Kerja itu tidak berat, hanya khidmat nasihat dan aktif bermasyarakat. Aktif bermasyarakat ini adalah satu gaya hidup yang sihat.

Alhamdulillah, warga-warga pencen ini semua bersemangat untuk menyumbang tenaga. Mereka ini semuanya hebat, ramai bekas pensyarah.

Keempat, mereka yang rajin menyumbang bakti atau berkebajikan atau yang berihsan. Dulu orang kampung rajin, dan semangat bergotong-royong mereka sangat tinggi. Saya melihat masyarakat yang baik itu tinggi semangat gotong royong dan berkebajikan, selain prihatin dengan nasib orang susah.

Jadi, apa yang YB lakukan?

Saya ada tubuh pertubuhan orang susah Lenggeng untuk memantapkan lagi nilai-nilai ihsan dalam masyarakat dan mereka ini akan bekerjasama dengan erat di setiap masjid dan surau. Kerja-kerja dakwah dan kebajikan akan dipergiatkan.

Mereka ini pun sebenarnya murid saya juga. Cumanya ada beberapa golongan tidak suka masuk melalui jalan politik. Bagi mereka politik ini bergaduh kerjanya. Tapi bila kita masuk dalam masyarakat atas nama ihsan, semua suka, tidak kira apa juga fahaman politik. Mereka lupa perbezaan politik.

Saya hendak memahamkan masyarakat bahawa kerja kita yang paling besar ialah bergotong-royong. Kita kena ingat akibat ikut pemimpin, kita berantakan sesama kita. Bila ikut pemimpin tanpa panduan yang jelas, maknanya panduan al-Quran… bila dia tidak ada panduan, dia akan berantakan. Adik beradik lain-lain parti pun dia berantakan, apatah lagi saudara mara.

Apa idea YB untuk kembalikan semula pertautan mereka?

Baru-baru ini saya baru selesai program kempen Kampungku Bersih ataupun komuniti bersih, yang mana kami jalankan selama dua bulan. Setiap taman dan kampung berkenaan saya galakkan mereka adakan program gotong-royong dan saya boleh minta kerjasama daripada Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dan agensi kerajaan untuk membantu mereka membersihkan kawasan.

Idea saya satu saja, iaitu hati yang bersih akan menjadikan persekitaran kita bersih. Jadi, kebersihan itu bukan semata-mata luaran sahaja. Kita kena suburkan kekotoran luaran. Kita kena bimbing perlahan-lahan. Inilah cara kita hendak ubah masyarakat Lenggeng dari hidup bernafsu nafsi kepada hidup bergotong-royong dan secara tidak langsung nanti isu kebajikan ini akan selesai.

Bagaimana YB melihat kehidupan anak muda masa kini, terutama dalam DUN Lenggeng khususnya? Adakah mereka jenis suka berantakan, membantu atau berfoya-foya?

Saya lihat anak muda sekarang seolah sudah terputus hubungan dengan orang tua. Maknanya, mereka ini sudah tidak percaya dengan kepimpinan orang tua lagi, manakala orang tua pula kalau mengadakan program selalu menyisihkan yang muda.

Apa yang saya buat ialah saya minta ketua kampung cari semua orang-orang muda ini dan libatkan mereka dalam apa saja program yang boleh memberi manfaat. Kalau tidak ada tempat berkumpul, kalau perlukan balai raya sebagai tempat, jadikanlah sebagai rumah kelab anak muda pun tidak apa. Kita akan kawal aktiviti dan program mereka supaya mereka tidak lara.

Sampai satu peringkat saya lihat kepimpinan anak muda ini perlu dibentuk, dan antara perkara yang baik dan diminati mereka ialah sukan. Ada sukan objektif yang membina kepimpinan dan ada juga sukan yang suka-suka. Kita tidak mahu sukan yang suka-suka, iaitu habis bersukan maka habislah.

Kita hendak sukan yang objektifnya membina kepimpinan. Apa yang saya buat ialah saya kumpul anak muda dari pelbagai kampung duduk dalam satu platform yang saya namakan Pemuda Lenggeng, kemudian saya adakan mesyuarat dengan mereka. Saya bentangkan beberapa agenda untuk mereka fikir-fikirkan dan berikan kerjasama.

Untuk anak muda ini, agenda utama saya ialah selesaikan masalah pekerjaan mereka. Satu tugasan saya dengan kawan-kawan kepimpinan ialah hendak mencari tanah.

Tanah di DUN Lenggeng banyak, tapi terbiar dan kemudian kita bantu mereka membina ekonomi rumah tangga mereka dengan pertanian. Pertanian adalah satu perniagaan. Kalau betul-betul dijaga, ia mendatangkan pendapatan lumayan.

Saya letakkan sasaran paling minimum melalui program anak muda ini ialah buat kira-kira sampai mereka boleh dapat perolehan RM2,000 sebulan paling. Siapa yang rajin dapat lebihlah. Konsepnya macam itu. – MalaysiaGazette