abatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mahukan keadilan untuk anggotanya Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim terlaksana walau apa juga kaedah yang diambil pihak berkuasa dalam menentukan punca kematiannya.
Laporan Penuh Jawatankuasa Khas Siasatan Kes Kematian anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim dijangka akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri bulan hadapan.

AKHIRNYA Peguam Negara akan mengarahkan majistret untuk membuat siasatan (inkues) bagi menentukan kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataannya hari ini berkata, inkues itu dibuat oleh Peguam Negara selaku pendakwa raya di bawah Seksyen 339 (1) Kanun Tatacara Jenayah dan di bawah Bab XXXII kanun yang sama.

“Siasatan pihak polis melalui rakaman percakapan saksi-saksi, lakonan semula (re-enactment) dan juga hasil bedah siasat yang telah dilakukan oleh pihak forensik patalogi telah menemukan dapatan tertentu mengenai sebab kematian allahyarham yang hanya boleh didedahkan di mahkamah kelak,” ujarnya.

Di dalam prosiding inkues itu, majistret akan mempunyai kuasa yang luas di bawah seksyen 328 Kanun Tatacara Jenayah yang memberi erti sebab kematian termasuk mempertimbangkan bagaimana allahyarham menemui ajalnya dan sama ada kematiannya disebabkan atau dipercepatkan oleh, apa-apa perbuatan atau ketinggalan yang menyalahi undang-undang yang dilakukan oleh orang lain.-

Allahyarham Muhammad Adib seorang ahli bomba yang menjadi mangsa rusuhan di kuil di Seafield baru-baru ini.

Semalam Sinchew Daily melaporkan inkues melalui Mahkamah Koroner mungkin dijalankan untuk mengenal pasti punca kematian Muhammad Adib yang terbunuh dalam kejadiian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman.

Sesungguhnya bila ‘payah’ sangat nak merungkai kematian Adib, inilah jalan terbaik yang perlu diambil.

Ramai rakyat di luar sana marah dengan kematiannya, kemarahan rakyat ini akan menjadi lebih parah sekiranya ‘misteri’ kes ini tidak dapat dirungkai dan mereka yang bertanggungjawab tidak dibawa kepada pengadilan.

Sebab itu adalah sangat penting proses siasatan kematian Allahyarham dipercepatkan dan yang paling penting dikendalikan dengan prinsip perundangan dan keadilan!

Prosiding inkues kematian merujuk prosiding pendengaran yang dijalankan oleh mahkamah koroner bagi menentukan punca dan sebab kematian.

Tidak semua kes kematian memerlukan prosiding inkues kematian. Sebaliknya, prosiding inkues kematian hanya akan diadakan dalam kes tertentu, iaitu apabila wujud keperluan bagi menentukan punca sebenar kematian.

Dalam prosiding inkues kematian, terdapat perbezaan dari sudut amalan dan prosedur pengendaliannya di setiap negara. Di bawah undang-undang Malaysia, prosiding inkues kematian dikendalikan oleh majistret atau hakim yang bertindak sebagai koroner.

Tujuan inkuiri diadakan ialah untuk menyiasat bila, di mana, dan cara si mati menemui kematiannya dan juga sama ada mana-mana orang terlibat secara jenayah yang menyebabkan kematian itu.

Adalah mesti diingat bahawa fungsi seorang majistret mengendalikan satu inkuiri mengikut Bab XXXII CPC ialah untuk menyiasat, bila, di mana, bagaimana dan selepas dalam cara si mati menemui kematiannya dan juga sama ada mana-mana orang secara jenayah terlibat dalam menyebabkan kematian itu (Seksyen 337).

Definisi “Punca kematian” di bawah Seksyen 328 ialah untuk memasukkan dengan jelas bukan sahaja punca kematian seperti ditentukan oleh pemeriksaan atau pemeriksaan bedah siasat tubuh si mati.

Tetapi juga semua perkara yang perlu untuk membolehkan pendapat dibentuk mengenai cara si mati menemui kematiannya dan juga sama ada kematiannya berpunca akibat daripada mana-mana cara, atau telah dipercepatkan oleh sebarang tindakan tidak mengikut undang-undang atau berlaku akibat perbuatan orang lain.

Oleh yang demikian, majistret akan mengadakan inkuiri dengan memeriksa saksi-saksi yang telah bersumpah.

Pada masa yang sama mematuhi peraturan biasa mengenai keterangan, beliau mungkin menerima mana-mana keterangan yang beliau fikir sesuai, terutamanya keterangan dengar cakap.

Tugasnya ialah untuk menentukan punca kematian dan beliau tidak terikat untuk mematuhi prosedur undang-undang mahkamah yang biasa.

Di bawah Seksyen 333 Kanun Acara Jenayah, seorang Majistret boleh mengenepikan inkuiri jika beliau berpuas hati dengan punca kematian tetapi dalam semua kes lain adalah mandatori bagi Majistret untuk mengadakan inkuiri; lebih-lebih lagi dalam kes-kes sebegini yang melibatkan kematian mengejut.

Dalam hal ini, masyarakat perlu tahu kelebihan inkues.

Inkues membolehkan segala bukti dan saksi boleh digunakan dalam perbicaraan mahkamah untuk pendakwaan.

Inkues yang dikendalikan majistret (koroner) boleh mencadangkan jika ada pihak boleh dikenakan tindakan sekiranya mereka menjadi penyebab kematian si mati.

Lagi satu, inkues terikat dengan Akta Keterangan kerana ia tidak mengambil kira keterangan berbentuk khabar angin atau dengar cakap.

Apa yang penting ialah kita mesti mematuhi undang-undang negara. Demi keadilan, ia perlu diselesaikan bagi kepentingan bersama di pihak kerajaan dan awam.

Inkuiri di bawah Kanun Acara Jenayah dibenarkan oleh undang-undang dan siasatan di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 adalah mekanisme untuk mengetahui kebenaran secara adil dan saksama. Ia juga akan menyelesaikan sepenuhnya semua kebimbangan di pihak kerajaan dan orang ramai.

Semoga keadilan menjadi milik Adib dan kita sebagai rakyat dapat ‘disajikan’ dengan satu keputusan yang cukup adil dan tidak memihak atau bias pada sesiapa.

Mungkin ia tidak mampu memuaskan hati semua orang namun prinsip asas yang paling penting, kebenaran akhirnya terbukti jua, Insya Allah.

Pada Allah kita berserah. – Malaysia Gazette.