Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan mengarahkan pemeriksaan dijalankan di lapangan terbang dan pintu kemasukan antarabangsa untuk mengelak individu membawakan produk berasaskan babi dari China.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye mengeluarkan arahan itu selepas Selesema Babi Afrika merebak di China sehingga negara-negara serantau berusaha menghalang penularan penyakit itu.

Boon Chye berkata, penularan wabak itu ke Malaysia akan memberi tamparan teruk kepada industri penternakan babi di negara ini.

“Untuk mengawal wabak, kami tiada pilihan melainkan menghapuskan semua babi yang ada jika penyakit ini betul-betul menular ke Malaysia,” katanya kepada Sinchew Daily.

Katanya, kadar kematian Selesema Babi Afrika mencecah 100 peratus dan tiada lagi ubat dan vaksin yang dapat mengubati atau mencegah penyakit yang menjangkit babi itu.

“Kawalan mesti diperketatkan kerana babi di negara ini akan mati jika wabak penyakit menular ke negara ini.

“Walaupun Malaysia tidak mengimport babi dari China, tetapi penyakit boleh menular ke Malaysia akibat daripada kelalaian.

” Tindakan individu yang membawa hasil babi ke negara ini akan menyebabkan penularan wabak,” katanya.

Kata Boon Chye, mereka yang melanggar peraturan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kastam 1967 kerana membawa barang larangan.

Pesalah boleh dikenakan denda 10 hingga 20 kali ganda nilai barang yang dibawa atau dikenakan penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Tegasnya, kerajaan tidak membenarkan import babi sejuk beku, tetapi mengakui sukar mengawal individu yang membawa daging mentah dan produk berasaskan babi. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan