Redzuan
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berucap pada Majlis An Evening with Pak Wan, MED Media Networking Session di Dewan Tun Abdul Razak, Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 10 JANUARI 2018

KUALA LUMPUR – Dasar Keusahawanan Negara yang akan menjadi pelan tindakan aktiviti keusahawanan di negara ini bakal dilancarkan pada suku kedua tahun ini.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, dasar itu akan melibatkan beberapa teras dalam Rangka Kerja Keusahawanan Nasional (NEF) bagi mewujudkan pelbagai peluang dan ruang kepada golongan usahawan.

Beliau mengakui berdepan cabaran besar namun percaya NEF dapat membantu mencapai sasaran yang ditetapkan dalam dasar tersebut.

“Kementerian menyasarkan satu juta peluang pekerjaan di negara ini dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Dasar ini juga dijangka meningkatkan sumbangan perusahaan kecil sederhana (PKS) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 41 peratus.

“Ketika ini PKS telah menyumbang sebanyak 37 peratus kepada KDNK,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri majlis Sepetang Bersama Pak Wan: Sesi Jaringan Media MED di Dewan Tun di Menara Kembar Bank Rakyat di sini hari ini.

Turut hadir timbalannya, Datuk Dr Mohd. Hatta Ramli dan barisan pengarang organisasi media.

Mohd. Redzuan sebelum ini berkata Dasar Keusahawan Negara merupakan pelan tindakan yang akan menjadi buku panduan bukan saja untuk kementeriannya tetapi meliputi semua kementerian membabitkan kegiatan keusahawan.

Menerusi pelan itu, kementerian akan menjalankan skim Reach Out and Adopt (ROAD) bagi mendekati dan membimbing usahawan berpandukan kepada potensi dalam usaha mengembangkan perniagaan mereka. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan