calon
Calon (dari kiri) bebas, Sallehudin Ab Talib, Pakatan Harapan, Manogaran Marimuthu, Barisan Nasional, Ramli Mohd Noor dan bebas Wong Seng Yee bergambar bersama pada Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil P.078 Parlimen Cameron Highlands di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 12 JANUARI 2019.

TANAH RATA – Pilihan Raya Kecil (PRK) untuk kerusi Parlimen Cameron Highlands pada 26 Januari ini menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan dengan calon Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan dua calon bebas.

Menariknya, keempat-empat calon ini merangkumi pelbagai kaum iaitu Melayu, Cina, India dan Orang Asli dengan masing-masing mempunyai kekuatan sebagai anak tempatan atau sudah tidak asing dengan Cameron Highlands.

Calon BN, Assisten Komisioner Ramli Mohd Noor berketurunan suku kaum Semai dari Pos Mensoon Cameron Highlands.

Ramli yang ketika ini diangkat sebagai calon ‘favourite dan winnable’ merupakan bekas pegawai polis dalam kalangan masyarakat Orang Asli yang menduduki jawatan paling tinggi di negara ini dan telah berkhidmat dengan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) lebih 30 tahun.

Semangat dalam kalangan penyokong BN kelihatan luar biasa dengan masing-masing yakin kemenangan lebih dekat dan hampir ‘pasti’.

Sementara itu, calon PH, M. Manogaran pula mencuba nasibya buat kali ketiga setelah dua kali kalah berturut-turut bagi kerusi ini, namun pasti ada hikmahnya untuk DAP meletakkan beliau sebagai calon.

Manogaran juga dikatakan telah melobi dan sentiasa ‘berkeliaran’ di Cameron Highlands sejak sekian lama dan dipercayai mempunyai kumpulan penyokong bagi memenangi pilihan raya kali ini.

Jika menang, Manogaran pasti akan mencipta sejarah memecahkan kubu kuat yang selama ini merupakan deposit tetap BN dan kerusi tradisi MIC.

Sementara itu, dua calon bebas, salah seorang daripadanya yang sempat di temui oleh MalaysiaGazette, Sallehuddin Ab Talib optimis untuk bertanding kerana merasakan ‘kuasa ketiga’ penting dalam keadaan politik semasa.

Beliau yang juga merupakan bekas pensyarah di Institut Aminuddin Baki serta Kampus Tengku Ampuan Afzan tidak dapat bertanding sebelum ini kerana masih menjawat jawatan dengan kerajaan.

“Saya mahu bertanding kerana kadang-kadang kita perlu sangat kuasa ketiga atau ‘third force’ ini. Hakikatnya, walaupun ada parti gergasi seperti BN dan PH ini kadang-kadang mereka juga tidak tahu bagaimana mahu dekat dengan masyarakat.

“Warga Cameron Highlands perlu pembaharuan, banyak yang tidak tertunai selama ini. Kita tidak pasti juga selepas ini, kerana itu saya berhasrat untuk bertanding. Menang atau tidak, saya ingin gunakan platform ini untuk suarakan apa yang tersirat dan tersurat,” ujarnya.

Sementara itu, ketika membuat pengumuman nama keempat-empat calon, Pegawai Pengurus PRK Cameron Highlands, Datuk Ishak Md Napis berkata, pihaknya berpuas hati kerana proses penamaan calon berjalan lancar.

“Tidak ada sebarang masalah, semuanya telah berjalan lancar. Borang pencalonan keempat-empat calon ini tidak mempunyai masalah dan boleh bertanding tanpa sebarang halangan,” katanya di SMK Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata.

Pada 4 Jun lalu, Manogaran telah memfailkan petisyen memohon perisytiharan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei lalu bagi kerusi Cameron Highlands yang disandang Datuk C. Sivarraajh dari MIC terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Berikutan itu, Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan Sivarraajh dalam pilihan raya berkenaan terbatal setelah mendapati terdapat unsur rasuah untuk membeli undi.

Pada 28 Disember lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan Sivarraajh yang merupakan Naib Presiden MIC tidak layak bertanding dalam PRK akan datang.

Pada PRU 14, Sivarraajh memenangi kerusi parlimen itu dengan memperoleh sebanyak 10,307 undi menewaskan Manogaran dan tiga calon lain.

MIC juga membuat kejutan apabila enggan ‘merayu’ berhubung keputusan Mahkamah Pilihan Raya, sebaliknya mahu bertanding kembali bagi membuktikan kebolehan calon parti tersebut.

Namun setelah perbincangan yang mendalam antara komponen BN, akhirnya masing-masing terutamanya MIC bersetuju meletakan calon dalam kalangan masyarakat Orang Asli bagi memastikan kemenangan terus berpihak kepada mereka.

Ini merupakan PRK kali kelima selepas pilihan raya umum ke-14, melibatkan 3 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)  di Selangor dan satu kerusi Parlimen di Port Dickson, Negeri Sembilan yang dimenangi Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tempoh berkempen bagi PRK kali ini adalah selama 14 hari dan tarikh pengundian awal ditetapkan pada 22 Januari.

Sebanyak 32,009 pengundi berdaftar, termasuk 247 pemilih awal dan 12 pengundi tidak hadir, layak mengundi dalam PRK kali ini dengan 385 pengundi kurang upaya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan