????????????????????????????????????

KUALA LUMPUR – Masalah operasi dan kewangan yang dihadapi UiTM Hospitality Management Services Sdn Bhd (UHMSSB) sepanjang empat tahun lalu berikutan fasiliti Resort dan Pusat Konvensyen Intekma (IRCC) di Shah Alam yang usang merupakan antara faktor penting penamatan kesemua perkhidmatan dan operasinya.

Selain itu, UHMSSB turut mengambil kira industri perhotelan dan hospitaliti yang sangat kompetitif khususnya di sekitar Shah Alam sebelum mengambil keputusan tersebut.

UiTM Holdings Sdn Bhd. berkata, proses penamatan perkhidmatan dan operasi itu akan dilakukan melalui dua fasa yang mana fasa pertama akan berakhir pada 28 Februari 2019 manakala fasa kedua pada 31 Mac 2019.

Buat sementara waktu dari 11 Januari 2019 hingga 31 Mac 2019, semua operasi yang sedia ada akan tetap diteruskan mengikut fasa tetapi tiada tempahan baru untuk bilik dan acara akan diambil, tambahnya.

Selain itu, katanya, semua operasi berkaitan perkhidmatan luar ‘food and beverage’ akan turut ditamatkan.

“Setelah lebih 30 tahun beroperasi di dalam bidang perhotelan dan hospitaliti, dengan dukacitanya UiTM Holdings Sdn. Bhd. ingin mengumumkan penamatan kesemua perkhidmatan dan operasi hospitaliti Intekma di Resort dan Pusat Konvensyen Intekma (IRCC), Seksyen 7, Shah Alam,” katanya dalam kenyataan.

Menurut keyataan itu, keadaan ekonomi yang dijangka lebih mencabar juga menyukarkan Intekma untuk berdaya saing.

Justeru itu, tambahnya, pembangunan semula aset dan kemudahan perlu dilaksanakan dan strategi pernigaaan baru perlu dirangka,

“Sebelum pembangunan semula aset dan kemudahan dilaksanakan, operasi perhotelan dan hospitaliti Intekma akan ditamatkan terlebih dahulu manakala aset dan fasiliti sedia ada akan diubah menjadi penginapan pelajar untuk UiTM Private Education Sdn. Bhd. (INTEC) bagi tempoh 3 tahun yang akan datang mulai Mac 2019.

“Selain itu fasiliti dan kemudahan perkhidmatan sampingan seperti kafe, kantin, dobi dan kedai tuncit akan disediakan melalui pihak ketiga,” katanya.

Menyentuh kebajikan kakitangan yang terlibat dengan penamatan operasi itu, UiTM Holdings berkata, skim penamatan pekerjaan (staff separation scheme – SSS) melibatkan hampir kesemua kakitangan UHMSSB akan dilaksanakan.

“Skim SSS akan dijalankan mengikut terma dan syarat perkhidmatan kumpulan seperti mana yang termaktub dalam Akta Pekerjaan 1955,” katanya.

Tambahnya, keputusan menamatkan perkhidmatan dan operasi perhotelan dan hospitaliti miliknya bukanlah satu keputusan yang mudah bagi pihak pengurusan.

Jelasnya, pelbagai perbincangan dan rundingan telah dijalankan bersama Lembaga Pengarah dan pihak berkepentingan bagi mencapai kata sepakat berkenaan hal ini. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan