Pegawai ILP Kota Bharu yang dikatakan 'mengamuk' menendang empat motosikal milik ibu bapa dan pelajar yang datang mendaftar untuk kemasukan baharu.
Pegawai ILP Kota Bharu yang dikatakan 'mengamuk' menendang empat motosikal milik ibu bapa dan pelajar yang datang mendaftar untuk kemasukan baharu.

KUALA LUMPUR – Gara-gara seorang pegawai mengamuk menendang motosikal milik pelajar, pihak Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Bharu terpaksa memohon maaf atas kejadian itu.

Menurut Pengarah ILP Kota Bharu, Zainudin Ahmad, tindakan itu tidak wajar dilakukan pegawainya sehingga menimbulkan ketidakselesaan ibu bapa yang hadir bersama anak untuk pendaftaran kemasukan pengajian baru.

Beliau berkata, pihaknya telah mengambil tindakan dengan melaporkan perkara itu kepada Jabatan Tenaga Manusia (JTM) ibupejabat ILP untuk tindakan segera diambil ke atas pegawai berkenaan.

“Pihak pengurusan ILP Kota Bharu ingin memohon maaf di atas tindakan tidak wajar oleh pegawai terbabit yang telah menimbulkan keadaan tidak selesa kepada ibu bapa pelajar yang berurusan dengan ILP ini sepertimana yang telah diviralkan.

“Kita telah mengambil tindakan dengan melaporkan perkara ini kepada JTM HQ untuk tindakan segera ke atas pegawai berkenaan dan akan memastikan perkara tersebut tidak akan berlaku di masa hadapan demi imej dan integriti ILP Kota Bharu serta JTM sebagai institusi latihan TVET negara yang terunggul,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.

Semalam, tular di media sosial klik video berdurasi 1 minit 22 saat berkenaan seorang lelaki, dipercayai Penolong Pengarah ILP berkenaan menendang sekurang-kurangnya empat motosikal sambil mulutnya merepek sesuatu.

Motosikal dipercayai milik ibu bapa dan pelajar baharu itu diletakkan di tempat letak kenderaan bersebelah surau ILP berkenaan, yang dijadikan tempat rehat sementara kumpulan ibu bapa dan pelajar. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan