Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie menyerahkan kelengkapan persekolahan kepada pelajar sekolah pada Majlis Penyerahan Pakaian Persekolahan Sesi 2019 di Ibu Pejabat Tenaga Nasional Berhad, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 15 JANUARI 2019

KUALA LUMPUR – Lebih 5,000 murid khususnya daripada golongan kurang berkemampuan menerima sumbangan kelengkapan persekolahan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui program Back To School pada tahun ini.

Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie berkata, kira-kira RM1 juta diperuntukkan bagi mencurahkan bakti kepada masyarakat dalam pelbagai bentuk bantuan pendidikan di Semenanjung dan Sabah.

Beliau menjelaskan, program yang memasuki tahun keenam itu menyediakan kelengkapan persekolahan bernilai RM200 seorang meliputi pakaian seragam, beg dan alat tulis.

“Nilainya mungkin kecil untuk sesetengah keluarga tetapi besar maknanya kepada para ibu bapa penerima bantuan ini khususnya yang memiliki anak lebih daripada seorang yang masih bersekolah.

“Kami percaya ia dapat membantu meringankan perbelanjaan para ibu bapa daripada kelompok B40 menguruskan perbelanjaan dalam membeli kelengkapan anak-anak bagi sesi persekolahan yang baru bermula,” katanya.

MGF15012019_Majlis Penyerahan Pakaian Persekolahan Sesi 2019_02
Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie berucap pada Majlis Penyerahan Pakaian Persekolahan Sesi 2019 di Ibu Pejabat Tenaga Nasional Berhad, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 15 JANUARI 2019

Daripada hampir 5,800 pelajar yang menerima bantuan tahun ini, 400 diraikan hari ini.

Mereka dipilih daripada Sekolah Kebangsaan Bangsar, Sekolah Kebangsaan Bukit Bandaraya, Sekolah Kebangsaan Bukit Pantai, Sekolah Menengah Kebangsaan Bangsar, Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Bandaraya dan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pantai.

Biar pun bantuan Back to School ini dikhususkan untuk murid berumur tujuh hingga 12 tahun, di Kawasan Lembah Pantai di sini telah diberi kelonggaran atas dasar kos sara hidup yang tinggi di kawasan bandar atau dalam kata lain wujudnya miskin bandar.

Leo turut memberitahu, seramai 54 pelajar daripada tiga sekolah menengah ini juga menerima tajaan berjumlah RM1,500 setahun untuk tempoh tiga tahun (2018- 2020) bagi menampung keperluan asas persekolahan dari tingkatan tiga hingga tigkatan lima menerusi satu lagi program Tanggungjawab Korporat (CR) TNB iaitu Program Bantuan Pendidikan B40.

MGF15012019_Majlis Penyerahan Pakaian Persekolahan Sesi 2019_08
Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie bergambar kenangan bersama pelajar sekolah pada Majlis Penyerahan Pakaian Persekolahan Sesi 2019 di Ibu Pejabat Tenaga Nasional Berhad, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 15 JANUARI 2019

“Sehingga kini, lebih RM1 bilion telah dibelanjakan oleh TNB untuk memberi manfaat kepada lebih 11,000 pelajar yang menerima tajaan, bantuan dan sokongan termasuk dermasiswa, biasiswa dan pinjaman boleh ubah, sejajar komitmen TNB memperkasakan pendidikan generasi pewaris serta membangunkan modal insan negara.

“Sejak dahulu lagi, ketika masih dikenali sebagai Lembaga Letrik Negara (LLN), TNB sudah terlibat dengan agenda membangunkan modal insan negara.

“Hari ini, peranan itu semakin ketara dan jelas melalui Yayasan Tenaga Nasional (YTN) yang menawarkan pelbagai tajaan, biasiswa dan pinjaman pendidikan, selain wujudnya Universiti Tenaga Nasional (Uniten) sebagai menara gading melahirkan insan berkualiti,” katanya. – MalaysiaGazette