Datuk Seri Mohamad Hasan
Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan berucap pada Pentas Perdana sempena Pilihan Raya Kecil P.078 Parlimen Cameron Highlands di Felda Sungai Koyan 1, Jelai, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 20 JANUARI 2019.

LIPIS – Barisan Nasional (BN) tidak pernah menindas mana-mana kaum minoriti di negara sejak 61 tahun memerintah, malah memberi kebebasan kepada orang Cina dan India untuk mengamalkan budaya dan bahasanya masing-masing.

Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, Malaysia merupakan satu-satunya negara yang mengamalkan dasar integrasi dengan membenarkan kaum minoriti mengguna nama mengikut kaum.

“Mana ada kita menindas kaum-kaum minoriti, mana ada negara seperti negara kita Malaysia, di Thailand banyak orang Cina tapi tak ada sekolah Cina, nama Cina pun tak boleh pakai.

“Di Indonesia ramai orang Cina, tiada sekolah Cina dan tiada pun pakai nama Cina. Begitu juga orang-orang India banyak di merata tempat, tiada sekolah jenis kebangsaan Tamil.

“Negara kita mengamalkan dasar integrasi, bukan asimilasi seperti negara-negara lain, bercambah sekolah-sekolah jenis kebangsaan, bahasa-bahasa ibunda bebas diguna dan agama bebas diamalkan,” katanya ketika berucap dalam Pentas Perdana Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, di Dataran Felda Sungai Koyan 1, di sini, malam tadi.

Hadir sama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

MGF20012019_CERAMAH PERDANA BN PAS07
Orang ramai yang hadir pada Pentas Perdana sempena Pilihan Raya Kecil P.078 Parlimen Cameron Highlands di Felda Sungai Koyan 1, Jelai, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 20 JANUARI 2019.

Mohamad juga berkata, malangnya kebebasan itu diputarbelitkan oleh seorang pemimpin India di negara ini yang kini dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dengan mengatakan kaum India dipinggirkan.

“Beliau telah menipu dan memfitnah negara kita mengatakan bahawa kaumnya diseksa, dianaktirikan, kuil-kuil diroboh dan jika orang India nak masuk sebagai penjawat awam dipaksa untuk memeluk agama Islam.

“Ini propaganda yang dimainkan oleh mereka pihak Comango setiap tahun membawa kes ini ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva.

“Orang-orang seperti ini diberikan tampuk kuasa dan mereka ini bersedia dengan sebulat hati untuk mengubah corak iklim politik di negara kita,” katanya.

Katanya lagi, kelantangan suara Menteri India itu bagaikan sukar dibendung susulan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik daripada parti yang tidak mempunyai majoriti kerusi Parlimen dalam Dewan Rakyat.

“Apa boleh buat Perdana Menteri kita datangnya daripada parti yang tidak kuat, malah beliau pun mengakui baru-baru ini bahawa jawatannya dilantik oleh DAP.

“Ingatlah bahawa DAP ini adalah musuh kita. DAP tiada perasaan belas ihsan kepada orang Melayu dan agama Islam kerana DAP adalah anak didik kepada parti yang telah dikeluarkan dari negara kita.

“DAP masih lagi menghayati dan mahu negara ini mengamalkan dasar kesamarataan, agama sama, bahasa sama dan kerakyatan sama, tiada hak istimewa yang wujud dalam Perlembagaan negara,” katanya. – MalaysiaGazette