Ramli Mohd Nor
Temubual bersama Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor.

RINGLETĀ – Sebaik sahaja menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands semalam, perkara pertama yang dilakukan calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd Nor ialah menyantuni pengundi di Tanah Rata dan lebih penting beliau kembali ke kampung halamannya di Pos Mensun, di sini, hari ini.

Bagai sirih pulang ke gagah, begitulah sikap yang ditunjukkan Ramli sebagai mengenang jasa dan berterima kasih kepada masyarakat Orang Asli kerana menjadi pengundi tegar untuk memenangkannya di kerusi P078.

“Saya berasal dari sini, inilah asas saya dalam kalangan masyarakat Orang Asli, saya kena datang (Pos Mensun), daripada data (pengundian) yang banyak menyokong saya adalah Orang Asli.

“Bukan saya menidakkan yang lain-lain, saya rasa baik asal saya dulu, lepas itu baru saya akan ke tempat lain-lain, Insya-Allah.

“Saya kembali ke asal usul saya dahulu kerana mereka juga penyokong kuat, jadi saya kena lah pergi tengok,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas menyantuni masyarakat Orang Asli di Pos Mensun, di sini, hari ini.

Ramli Mohd Nor
Ahli Parlimen Cameron Highlands yang baharu, Ramli Mohd Nor berpelukan dengan salah seorang penduduk orang asli sebagai tanda terima kasih kerana menyokong beliau pada Pilihan Raya Kecil P.078 Parlimen Cameron Highlands di Pos Mensun, Pahang. foto AFFAN FAUZI, 27 JANUARI 2019.

Semalam, Pengurus Pilihan Raya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ishak Md Nafis mengumumkan calon BN itu pemenang dalam PRK Cameron Highlands dengan majoriti 3,238 undi di Dewan Gemilang, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata.

Ramli, memperoleh 12,038 undi menewaskan tiga calon lain termasuk Pakatan Harapan (PH), M. Manogaran, 59, yang memperoleh 8,800 undi.

Sementara itu calon Bebas, Sallehuddin Ab Talib yang menggunakan simbol buku memperoleh 314 undi dan Wong Seng Yee mendapat 276 undi dengan simbol cangkul.

Ramli yang berpakaian kemeja putih dan berseluar slak kelihatan agak teruja selepas kemenangan itu dan tidak sabar memulakan tugas pertamanya iaitu mahu masalah jalan raya di kampung-kampung Orang Asli dibaik pulih segera.

“Selepas menang, saya nampak keceriaan itu ada, mereka tidak tertekan malah mereka menaruh banyak harapan. Saya berharap satu hari nanti saya dapat melaksanakan tugas terbaik di kawasan Parlimen Cameron Highlands.

“Saya akan minta pembangunan infrastruktur didahulukan iaitu jalan-jalan ke kampung perlu dibaiki, yang mana rosak perlu diperbetulkan supaya memudahkan pembangunan ekonomi.

“Saya juga akan beri penekanan kepada pembangunan sosial dan kemudahan pendidikan bagi memudahkan orang luar bandar untuk ke bandar, sekolah dan kes kecemasan.

“Di kawasan bandar yang kita lihat berhampiran ialah isu pekebun-pekebun perlu diutarakan perkara itu,” katanya.

Sebagai Ahli Parlimen Cameron Highlands baharu, tiada keperluan untuknya berpindah ke kawasan tanah tinggi itu kerana beliau sendiri kerap balik ke kampung dan selepas ini akan lebih kerap berada dalam kawasan.

“”Ini kampung saya, sejak saya bersara saya banyak masa di sini, saya rasa tak jadi isu (pindah) kebun saya pun ada di belakang.

“Orang tua saya bersara dia duduk di Perak tapi kampung halaman kami di sini, kebun kami di sini, semua saudara mara di sini, memang duduk di sini pun,” katanya lagi. – MalaysiaGazette