Dr. Nik Muhammad Zawawi
Dr. Nik Muhammad Zawawi

KUALA LUMPUR – Penubuhan Dewan Ulamak Pas Kawasan (DUPK) membuka ruang baharu kepada masyarakat khususnya dalam aspek dakwah dan siasah.

Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP), Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, dengan adanya DUPK, diharapkan mampu untuk memandu, mengawal dan menasihati Pas Kawasan dari sudut hukum dan perancangan aktiviti yang dirancang supaya sentiasa menepati dasar al-Quran dan As-Sunnah.

Di samping itu, katanya, ia dapat membantu meningkatkan peranan ulamak dalam masyarakat di peringkat terbawah untuk meluaskan dakwah Islam.

“Kita harap ilmuwan dan pendakwah di kawasan dan cawangan boleh dihimpunkan di bawah DUPK ini dalam menggerakkan serta menguatkan pelaksanaan agenda dakwah serta tarbiyah kepada masyarakat secara tersusun dan terancang.

“Mantan Mursyidul Am Pas, Allahyarham Yusuf Rawa pernah mengungkapkan pesanan yang perlu difahami para ilmuwan dan asatizah dalam pelaksanaan agenda dakwah merentasi sempadan bangsa dan agama.

“Ungkapan arwah ialah perjuangan umat Islam seluruhnya yang dipimpin oleh harakah Islamiah perlu mengkaji semula pendekatannya supaya perjuangan Islam tidak hanya melingkari batasan kehidupan orang-orang Islam sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap merasmikan Muktamar Dewan Ulama Pas Pusat kali ke-59 di Kota Bharu, hari ini.

Tema muktamar kali ini ialah “Ulamak Perteguh Muafakat”.

Menurut Dr. Nik Muhammad Zawawi, gerakan Islam hendaklah berani tampil ke hadapan membicarakan masalah manusia seluruhnya, sesuai dengan sifat dan risalah Islam sebagai rahmat kepada seluruh alam.

Berhubung pelaksanaan DUPK, beliau berkata, setiap Pas Kawasan melalui Urusan Ulamak masing-masing perlu berusaha melengkapkan struktur organisasi selaras ketetapan dibuat dan diperturunkan ke peringkat negeri dan Kawasan.

Beliau mengucapkan tahniah dan syabas kepada Pas Kawasan yang telah mempunyai senarai mencukupi atau lebih, namun masih kedapatan kawasan tidak cukup bilangan diperlukan untuk kewujudannya sebagai dewan.

“Perkara ini perlu diambil serius supaya pemerkasaan organisasi Dewan Ulamak yang telah diluluskan dapat dilaksanakan di peringkat kawasan.

“Saya mengucapkan syabas atas usaha semua Dewan Ulama Pas yang telah memperkasakan peranan ulama. Saya mahu menyatakan hasrat yang tinggi dalam menjayakan beberapa gerak kerja Dewan Ulama Pas kali ini. – MalaysiaGazette