MELAKA – Seorang warga emas maut selepas motosikal ditunggangi terbabas di susur Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah Jasin (AMJ) Kandang-Ayer Molek di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu mangsa, Mohd Sahat Othman, 65, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala kira-kira lapan minit sebelum tiba di rumahnya di Kampung Alai.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari arah lampu isyarat Kandang pulang ke rumahnya di Alai, kira-kira empat kilometer dari lokasi nahas.

“Bagaimanapun sebaik tiba di lokasi, motosikal jenis Demak Eco ditunggang mangsa dipercayai telah terkena tayar belakang sebuah lori sebelum hilang kawalan dan terbabas

“Akibat kemalangan itu, mangsa yang juga pesara Majlis Amanah Rakyat (MARA) meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan di kepala,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, hasil siasatan pegawai penyiasat Inspektor R Nitheish Kumarr di lokasi juga tidak menjumpai sebarang kesan perlanggaran, kesan brek atau calar di atas jalan raya.

“Mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette