Wee Ka Siong

ISKANDAR PUTERI – Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong menafikan penggantungan keahlian bekas Ketua MCA Bahagian Pontian, Datuk Tee Siew Kiong sebabagi serangan peribadi terhadapnya.

Presiden MCA yang menyifatkan dakwaan tersebut sebagai merepek berkata, sebelum ini beliau memilih untuk berdiam diri dan tidak menjawab semua dakwaan yang dibuat Siew Kiong kerana bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang itu bukan lagi ahli MCA.

“Mengarut, jangan cakap bohong, jangan sampai kita terpaksa telanjangkan dia. Selama ini saya memilih untuk berdiam diri kerana saya tahu perkara yang benar akan kekal benar, tanyalah mana-mana pucuk pimpinan MCA (berhubung perkara ini).

“Kepimpinan BN sudah muktamad untuk tawarkan dia (Siew Kiong) kerusi DUN Puteri Wangsa, tetapi dia tolak dengan alasan kerusi itu terlalu besar, kemudian dia pusing cerita dan berkata tidak ditawarkan kerusi.

“Sekarang kamu cakap perkara lain pula, jadi saya gunakan perkataan jangan mengarut. Jika saya tunjuk mesej dia nanti dia yang malu pula, keputusan itu dibuat majlis Presiden bukan hanya seorang diri,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan MCA Johor, di sini, hari ini.

Ka Siong berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Siew Kiong yang mengatakan tindakan parti itu menggantung keahliannya selama lima tahun merupakan serangan berbentuk peribadi oleh Presiden MCA itu.

Siew Kiong sebelum ini telah mengadakan beberapa sidang akhbar bagi mengkritik tindakan Presiden MCA yang bersikap pilih bulu dalam mengenakan hukuman terhadap ahli parti yang tidak sependapat dengannya.

Sehubungan itu, Ka Siong memberitahu, tumpuannya ketika ini adalah untuk memperkasakan MCA bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dan bukan soal peribadi seperti dakwaan berkenaan.

“Saya jarang mahu bercakap seperti ini, tetapi itu bukan bermakna saya berasa takut, sebaliknya dia sudah bukan lagi ahli parti jadi tiada keperluan untuk saya menjawab dakwaan-dakwaan yang dibuatnya,” ujaenya. – MalaysiaGazette