Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (tengah) membuat gimik perasmian pada Majlis Pecah Tanah 'Reception Facility' Pelabuhan Klang ketika di Westport, Pelabuhan Klang. Foto MOHD ADZLAN, 14 APRIL 2023.

PELABUHAN KLANG – Kerajaan menggalakan mana-mana syarikat swasta untuk melabur pembinaan Kemudahan Penerimaan Pelabuhan (PRF) bagi memproses sisa bahan bakar kapal di kawasan pelabuhan di seluruh negara.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, langkah itu bukan sahaja dapat menyelamatkan alam sekitar daripada pencemaran bahkan mampu menjana ekonomi.

“Sudah tentu fasiliti seperti ini dibina di pelabuhan di negeri lain. Kita mengalu-alukan fasiliti seperti ini dilabur oleh pihak swasta sebab ia tidak dapat disediakan oleh kerajaan.

“Fasiliti ini juga merupakan satu perniagaan, mereka boleh mengenakan bayaran kepada kapal-kapal yang membuang sisa ini.

“Malah sisa bahan bakar kapal ini juga boleh diproses semula untuk kegunaan lain seperti bitumen dan sebagainya,” katanya pada sidang media di Westport Sdn Bhd di sini hari ini.

Terdahulu Anthony menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pembinaan PRF milik Port Klang Port Reception Facility Sdn Bhd (PKPRF), anak syarikat Kumpulan KA Petra.

Dalam pada itu, pembinaan PRF merupakan satu keperluan semasa yang boleh menyumbang kepada pendapatan negara kerana ketika ini hanya dilakukan di pelabuhan di Singapura.

“Ada 15,000 kapal yang berlabuh di Pelabuhan Klang setiap tahun dan ini jadi satu peluang yang besar kepada industri baharu seperti ini.

“Industri ini semakin mendapat permintaan kerana kesedaran alam sekitar yang besar dan ada konvensyen untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar.

“Maka banyak syarikat perkapalan mesti mematuhi peraturan antarabangsa yang ditentukan oleh Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO),” katanya.

Katanya, industri itu juga merupakan satu peluang baharu kepada pihak swasta untuk melabur dalam PRF kerana ia boleh memberi pulangan ekonomi.

“Ia merupakan bidang baharu yang sepatutnya pihak swasta mengambil peluang.

“Lembaga Pelabuhan sudah tentu kita mengalu-alukan pelaburan seperti ini dan kita akan memudahkan dari segi tapak atau tanah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette