Kon Yeow.

TASEK GELUGOR – Perkhidmatan teksi air akan diperluaskan ke Seberang Perai sekiranya mendapat sambutan.

Bagaimanapun, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow menegaskan keputusan mengenai perkara itu hanya boleh diputuskan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

“Usaha (perkhidmatan teksi air) ini dilakukan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bukan kerajaan negeri sebab itu perkhidmatannya hanya membabitkan bahagian pulau.

“Perkhidmatan teksi air itu belum mula dan jika dibuktikan ada sambutan mungkin akan diperluaskan kelak.

“Sekarang ini ia masih di peringkat percubaan,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng mencadangkan supaya perkhidmatan teksi air itu diperluaskan ke Seberang Perai bagi mengatasi masalah kesesakan.

Media pada Disember lalu melaporkan perkhidmatan teksi air yang pertama dan lengkap di negeri ini dijangka memulakan perkhidmatan di Pulau Pinang pada 2024.

Pengerusi Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata, perkhidmatan teksi air itu adalah salah satu alternatif kaedah pengangkutan dan perkhidmatan yang mudah digunakan orang awam di kawasan pulau.

Perkhidmatan teksi air adalah sebahagian daripada rancangan yang dikemukakan dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di negeri itu. – MalaysiaGazette