GEORGE TOWN – Laluan di sekitar pusat bandar sesak selepas beberapa kawasan termasuk laluan ke Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) dilanda banjir kilat susulan hujan lebat sejak pagi tadi.
Hujan lebat bermula jam 11 pagi itu turut mengakibatkan beberapa premis termasuk restoran nasi kandar dimasuki air selain terdapat kenderaan di hempap pokok tumbang.
Selain itu, kawasan stesen bas berhampiran KOMTAR turut digemparkan dengan penemuan ular sawa kira-kira tiga meter panjang namun berjaya ditangkap orang awam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng berkata, banjir kilat itu hanya membabitkan beberapa kawasan termasuk Jalan Penang.
“Tiada lokasi yang terjejas teruk mahupun mana-mana premis atau kediaman mengalami kerosakan serius.
“Saya percaya hujan lebat sejak pagi tadi menyebabkan longkang sedia ada tidak dapat menampung air sekali gus menyebabkan berlakunya banjir kilat.
“Bagaimanapun, air mula surut di semua kawasan tidak lama kemudian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang turut memaklumkan pihaknya tidak menerima sebarang panggilan kecemasan berkaitan banjir serta ribut. – MalaysiaGazette